T20, M40 dan industri punca bekalan minyak masak peket kurang

T20, M40 dan industri punca bekalan minyak masak peket kurang

ROSOL Wahid (depan tengah) ketika melakukan tinjauan di ICQS Rantau Panjang, hari ini. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Kekurangan minyak masak peket masih lagi berlaku kerana barang mentah bersubsidi itu juga turut digunakan oleh pihak industri serta golongan T20 dan M40.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, setiap bulan, sebanyak 60,000 tan minyak masak peket diperuntukkan untuk golongan B40.

Namun katanya, perkara itu juga dinikmati golongan T20 dan M40, selain turut dibeli pengusaha kedai makan dan restoran.

“Ada pihak mendakwa ia berlaku kerana program Keluarga Malaysia, namun syarikat pembungkusan semula yang terbabit dalam program ini hanya sebahagian kecil.

“Kegiatan menyeludup minyak masak ke negara jiran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini, tetapi dapat diatasi hasil kerjasama agensi penguatkuasaan keselamatan di sempadan negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, isu peningkatan permintaan dan kelewatan bayaran balik tuntutan subsidi kepada syarikat pembungkusan semula minyak masak sudah diselesaikan oleh kerajaan.

“Tahun lalu isu ini didakwa berlaku akibat kelewatan pembayaran kepada syarikat pembungkusan semula yang menyebabkan aliran tunai bermasalah, tetapi kini ia sudah dijelaskan,” katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, sehingga 28 Mac lalu, KPDNHEP telah menjalankan 8,843 pemeriksaan ke atas premis yang terbabit dengan urus niaga minyak masak dan 25 kertas siasatan telah dibuka dengan 94 premis masih diaudit.

“Setakat ini 15 syarikat pembungkus telah digantung Kuota Skim minyak masak dan lima syarikat pemborong telah digantung lesen urus niaga minyak masak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN