IPOH: Perak FC bakal di terajui pemilik baharu dalam tempoh 24 jam.
Ini berikutan persetujuan dicapai antara Impact Media &, Communication Sdn. Bhd (IMC) untuk menjual sahamnya kepada JR Resources and Services Sdn. Bhd. (JR).
Menurut sumber, kata putus itu dicapai dalam perbincangan akhir antara kedua-dua pihak, kelmarin.
“Perak FC akan bertukar milik dalam tempoh 24 jam. Persetujuan sudah dicapai untuk penjualan dan pembelian semua saham Perak FC,” katanya.
Perak FC dijangka akan mengumumkan Eksekutif Interim mereka sebaik pengambilalihan ini berjaya dibuat secara rasminya oleh mereka.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai urusniaga itu.
Perbincangan antara IMC dengan JR sudah berlangsung beberapa minggu lalu.
Selain JR beberapa pihak lain turut berminat memiliki Perak FC tetapi tawaran syarikat tujuan khas tersebut nyata lebih meyakinkan IMC untuk menjual pegangan mereka.
Sementara itu. usaha menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IMC, Mohd. Yunus Zakariah untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan tidak berjaya apabila panggilan dan teks tidak dijawab.