PETALING JAYA: Operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika Aidilfitri dilaksanakan sebagai langkah berterusan bagi memastikan keselamatan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, setiap tindakan penguatkuasaan dibuat berasaskan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam tanpa mengira waktu termasuk musim perayaan.
Katanya, setiap tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah berteraskan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Operasi yang dijalankan oleh pihak imigresen tidak bersifat bermusim atau selektif terhadap waktu tertentu, termasuk musim perayaan seperti Aidilfitri.
“Sebaliknya, ia dilaksanakan secara berterusan dan profesional, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya kepada media di sini hari ini.
Katanya, pendekatan itu mencerminkan komitmen jabatan berkenaan dalam memastikan penguatkuasaan dilaksana secara konsisten.
“Kita menghormati keperluan semua pihak untuk menyambut perayaan dalam suasana harmoni. Namun dalam masa yang sama.
“Prinsip ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ perlu dipatuhi oleh semua termasuk warga asing yang berada di negara ini,” jelasnya.
Lokman Effendi menegaskan, tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap warga asing yang memiliki dokumen sah dan mematuhi undang-undang imigresen kerana penguatkuasaan hanya tertumpu kepada mereka yang melanggar peraturan.
Jelasnya, keperluan operasi diteruskan ketika cuti perayaan ialah satu keperluan bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
“Pelaksanaan operasi penguatkuasaan dalam tempoh cuti perayaan adalah satu keperluan, bukan pilihan. Keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi walau dalam apa jua keadaan termasuk musim perayaan.
“Sekiranya penguatkuasaan dilonggarkan, terdapat risiko pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melakukan pelanggaran undang-undang termasuk aktiviti melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya
Tegasnya, imigresen akan terus melaksanakan operasi secara konsisten, berhemah dan berintegriti, tanpa mengira masa atau keadaan bagi memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara.
“Pendekatan ini bukan bertujuan menimbulkan ketidakselesaan, tetapi sebagai langkah pencegahan demi kepentingan keselamatan negara secara keseluruhan,” katanya.
Semalam, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim mengkritik tindakan imigresen yang menjalankan operasi membabitkan warga asing dalam tempoh Aidilfitri dengan mempersoalkan sensitiviti pelaksanaannya. – UTUSAN










