LONDON : Liverpool meneruskan buruan merangkul empat kejuaraan musim ini selepas melangkah ke pentas final Piala FA dengan menewaskan Manchester City, 3-2 pada aksi separuh akhir, kelmarin.
Kejayaan ini mengulangi pencapaian The Reds yang mara ke final Piala FA pertama mereka sejak tahun 2012.
Melihatkan situasi prestasi pasukan ketika ini, Liverpool yang sudah merangkul gelaran Piala Liga (Carabao), bakal beraksi di kelompok empat terbaik Liga Juara-Juara dan bersaing hebat dengan City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Liverpool bagaimanapun masih ketinggalan satu mata di belakang City dalam perebutan gelaran EPL yang berbaki tujuh perlawanan.
Mereka seri 2-2 di Manchester dalam saingan liga hujung minggu lalu dan berpeluang bertemu sekali lagi jika masing-masing mara ke final Liga Juara-Juara.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp berkata, kemenangan skuad bimbingannya ke atas City adalah persembahan terbaik yang membawa mereka ke final Piala FA.
“Amat bangga, menakjubkan. Babak pertama adalah antara permainan terbaik pernah kami tampilkan. Kami melakukan semuanya dengan betul, menjaringkan gol pada saat yang tepat.
“Kami amat menyerlah, saya menikmati setiap saat. Babak kedua bermula dengan gol untuk Man City dan kemudian ia mula berubah. Kualiti City sangat luar biasa.
“Kami amat menghormati City dan ia sukar untuk menewaskan mereka. Tetapi kerana kami mempunyai pemain-pemain ini, ia tidak mustahil,” tegasnya.
Liverpool mendahului tiga gol hasil jaringan pembukaan Ibrahima Konate minit ke -9 dan dua gol Sadio Mane (m-17,m-45) di Wembley.
Namun The Citizens bangkit di babak kedua dengan gol jaringan Jack Grealish selang dua minit babak kedua bersambung dan Bernardo Silva di penghujung perlawanan.
“Saya yakin dengan pemain-pemain dan pilihan saya. Kami mengharungi jadual padat dan perjalanan yang sukar. Sebab itu kami memerlukan tenaga baharu.
“Babak pertama kami pasif, takut untuk membantu rakan sepasukan. Di babak kedua kami bangkit dan berpeluang mengheret permainan ke masa tambahan. Tetapi ia sukar, mereka adalah Liverpool,” kata bos City, Pep Guardiola.
Tambah Guardiola lagi dia tidak menyalahkan penjaga golnya Zack Steffen yang melakukan kesalahan sehingga membolehkan Mane meledak gol kedua Liverpool.- AGENSI