IPOH: Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menyasarkan kutipan RM1.7 juta untuk membantu pasukan Perak FC menyelesaikan kemelut kewangan sebelum tarikh 21 April depan.
Setiausaha Kehormat, Hakimi Halim optimis jika setiap rakyat Perak menderma RM1 seorang, jumlah terbabit mampu dicapai.
Menurutnya, keadaan amat terdesak dan hanya beberapa hari sahaja lagi bola sepak negara bakal kehilangan satu lagi pasukan penuh tradisi, penuh sejarah dalam saingan Liga Malaysia.
“Sebelum ini kita harapkan pemilik Perak FC untuk selesaikan kemelut ini namun saban hari keadaan semakin genting dan pasukan kita sudah di hujung tanduk.
“Jika pasukan gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum atau pada 21 April ini maka First Instance Body (FIB) akan memutuskan tindakan seterusnya iaitu lesen ditarik balik dan disingkirkan daripada Liga Malaysia,” katanya.
Beliau turut merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak agar menghulurkan bantuan kewangan RM1 seorang untuk merealisasikan harapan penyokong bola sepak Perak.
“Kita boleh lihat sendiri sehingga hari ini, masih belum ada sebarang kepastian kemelut pengambilalihan kelab, kami terpanggil untuk selamatkan kelab kesayangan kami.
“Apa yang lebih penting memastikan Perak FC terus bersaing dalam saingan Liga-M.
“Rakyat Perak boleh buktikan dengan menyalurkan sumbangan. kami juga seru mana-mana pihak atau syarikat yang mempunyai kewangan kukuh untuk menyumbang,” katanya.
Menurut Hakimi, adalah sesuatu yang amat malang bagi pasukan Perak FC yang menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun lepas, diturunkan takhta liga dan kini berdepan pula penyingkiran dari Liga Malaysia.
“Jika tersingkir dari saingan Liga Malaysia, ia adalah sesuatu yang amat malang bagi kita termasuk akan beri kesan kepada perkembangan bola sepak di negeri Perak sendiri.
“Kami rayu agar seluruh rakyat Perak menjayakan usaha ini sebelum terlambat, dan kita seru kepada kerajaan negeri untuk bantulah pasukan buat kali terakhir,” katanya.
Kempen Solidariti RM1 Seminggu telah dilancarkan ketika krisis kewangan Perak FC apabila difahamkan pemain dan pegawai pasukan tidak dibayar gaji mereka dua hingga tujuh bulan.