GUA MUSANG: Pertambahan jumlah kenderaan menyaksikan aliran trafik keluar dari negeri ini menuju ke bandar Gua Musang hari ini mengalami kesesakan sejauh kira-kira 20 kilometer (km).
Situasi itu memaksa pengguna jalan raya menempuh perjalanan sehingga lebih tiga jam untuk tiba di bandar Gua Musang, berbanding tempoh biasa kurang sejam.
Seawal pagi, kenderaan dilaporkan tidak putus-putus memenuhi laluan berkenaan apabila orang ramai mula bergerak pulang ke ibu kota dan destinasi masing-masing.
Seorang pengguna jalan, Khairil Rashid, 45, berkata, kenderaan tidak putus-putus melalui laluan utama Gua Musang-Kuala Krai sejak awal pagi apabila perantau pulang ke destinasi masing-masing selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, dia memilih untuk pulang ke Kuala Lumpur hari ini kerana kembali bekerja esok.
“Aliran trafik perlahan di beberapa lokasi sehingga saya mengambil masa lebih tiga jam untuk sampai di Gua Musang. Saya bertolak dari Kuala Krai kira-kira pukul 8 pagi dan sampai di Hentian Gua Musang pukul 11.40 pagi.
“Saya berhenti rehat seketika di Hentian Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan. Saya dapat maklumat kesesakan juga berlaku di jalan Kuala Lipis menuju ke Plaza Tol Gombak,” katanya.
Mohd. Zakaria Ariffin, 38, pula berkata, dia turut menempuh kesesakan jalan terutama di Bandar Kuala Krai menuju ke Gua Musang.
“Kami menjangkakan akan sampai di Kuala Lumpur lewat petang ini atau malam kerana saya mendapat tahu kenderaan menghala ke Lembah Klang semakin bertambah.
“Keadaan trafik sekitar daerah Gua Musang masih lancar walaupun trafik perlahan terutamanya di Bandar Utama yang menuju ke Bandar Gua Musang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, masih banyak kenderaan perantau menuju ke Gua Musang.
Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk terus merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan memandu dengan berhemah agar tidak terlibat dengan kemalangan yang boleh menyebabkan kesesakan jalan. – UTUSAN










