Kemelut sepak takraw : PM dirayu campur tangan - Utusan Malaysia

Kemelut sepak takraw : PM dirayu campur tangan

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dimohon campur tangan supaya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) diiktiraf sebagai persatuan tunggal warisan negara yang mengelola sukan sepak takraw.

Pengasas dan bekas Setiausaha Agung pertama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, campur tangan Perdana Menteri itu sangat diharapkan demi menyelamatkan satu-satunya badan sukan PSM.

Katanya, PSM telah mempopularkan permainan warisan orang Melayu (sepak
raga) yang lahir di negara ini sehingga menjadi sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

“Saya berpendapat persatuan-persatuan sepak takraw kini telah dibawa ke kancah perpecahan.

“Ini berlaku apabila Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan kewujudan dua entiti yang berbeza iaitu Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) dan PSM tetapi mempunyai matlamat yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Mohd. Yussof, pihaknya dengan rendah hati meminta Perdana Menteri mengkaji semula keputusan yang dibuat PJS dan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu yang meluluskan penubuhan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) pada awal Januari lepas.

“Keputusan PJS dan KBS meluluskan penubuhan MSC sebagai sebuah lagi badan sukan sepak takraw kebangsaan sebenarnya bukanlah jalan penyelesaian mengatasi konflik antara PSM dengan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“Malah ia akan mengundang konflik baharu pula dalam kalangan persatuan-persatuan sepak takraw peringkat negeri seterusnya boleh memalapkan arena sukan sepak takraw negara,” katanya.

Tambahnya, perlu disedari dalam masa kewujudan MSC ini, PSM masih wujud dan sehingga kini adalah sebuah persatuan yang sah disisi undang-undang.

PSM juga mempunyai objektif untuk melahirkan atlet sepak takraw negara dan masih diiktiraf sebagai Ahli Gabungan sah Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Maka kewujudan dua entiti ini bukan setakat mengelirukan para atlet sepak takraw, malah lebih parah lagi apabila persatuan sepak takraw negeri berpecah kerana menyertai badan gabungan yang berbeza.

“Saya menyifatkan tindakan PJS dengan sokongan Ahmad Faizal meluluskan MSC hanya untuk ‘membunuh’ PSM,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana apabila MSC diterima menjadi ahli gabungan ASTAF maka ia akan menjejaskan peluang PSM untuk bergabung semula dengan ASTAF.

“PSM telah banyak berjasa kepada pembangunan sepak takraw di negara ini sejak lebih 60 tahun sehingga berjaya memartabatkan permainan sukan warisan negara berkenaan di peringkat antarabangsa tetapi kini telah dimangsakan oleh pihak tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya