PUTRAJAYA: Sistem e-Konsular yang menerima dan memproses permohonan Sijil Kelakuan Baik (SKB) di Kementerian Luar Negeri kini kembali pulih seperti biasa.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, pemohon tidak perlu bimbang kerana mereka akan dapat menerima sijil tersebut yang diproses dalam tempoh masa ditetapkan.
Ia turut menafikan satu laporan akhbar tempatan yang menyatakan bahawa masalah teknikal pelayan sistem di kementerian itu konon menyebabkan berlaku kelewatan pengeluaran SKB.
“Sebenarnya, isu kelewatan pemprosesan sijil tersebut berpunca daripada masalah teknikal yang berlaku pada perkakasan sistem data Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas Wisma Putra.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, tindakan segera telah diambil dan langkah penyelesaian sudah dipersetujui antara Kementerian Luar dan PDRM dalam menangani masalah kelewatan itu.
Wisma Putra komited memastikan prosedur penyampaian perkhidmatan rasmi yang diperlukan oleh orang awam tidak terjejas.
Sehubungan itu, proses permohonan SKB kembali lancar dengan tempoh menunggu untuk kelulusan tidak melebihi satu sehingga dua bulan.
Tempoh yang diambil berkenaan jelas Wisma Putra, sama seperti yang dinyatakan sebelum ini menerusi sistem e-Konsular dan laman sesawang rasmi kementerian berkenaan sendiri.
“Semua pemohon dinasihatkan supaya memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dalam sistem tersebut bagi membolehkan SKM yang dimohon dapat dikeluarkan sewajarnya,” katanya.
Selain itu, permohon mesti disertakan Surat Akuan Sumpah Tiada Rekod Jenayah daripada pihak pesuruhjaya sumpah bertauliah yang perlu dimuat naik melalui Seksyen Dokumen Sokongan.- UTUSAN