PETALING JAYA: Gergasi bola sepak Itali, Juventus bakal mengadakan perlawanan pertunjukan di Malaysia pada Disember 2022 dan Julai 2023.
Perkembangan ini dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas menerima kunjungan Delegasi Juventus FC diwakili oleh, Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung, di Wisma FAM.
Tambahnya lagi, menerusi perbincangan awal ini pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 tahun kebangsaan akan diberi peluang untuk menjalani latihan di akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

“Juventus berminat dan meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.
“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.
“Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.
“Juventus FC juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” katanya.
Hamidin berkata, menerusi perbincangan awal ini juga Juventus FC juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.
“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.
“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” katanya.