TELUK INTAN: Polis menahan seorang lelaki selepas didapati menjual mercun dan bunga api secara haram di kawasan terbuka di tapak ekspo bersebelahan Menara Condong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada pukul 6.45 petang selepas gagal mengemukakan lesen menjual mercun dan bunga api yang dikeluarkan polis.
“Tangkapan itu dilakukan selepas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak melihat sejumlah mercun di atas sebuah meja di depan kedai suspek.
“Seorang lelaki telah mengaku menjual mercun tersebut namun dia gagal mengemukakan sebarang lesen menjual mercun dan bunga api kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan mercun di kawasan Manjung dan menjualnya di tapak ekspo berkenaan sejak dua hari lalu.
“Permohonan reman ke atas suspek akan dilakukan hari ini bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dijalankan,” katanya. – UTUSAN