UMNO sambut baik lanjutan tempoh berkempen - Utusan Malaysia

UMNO sambut baik lanjutan tempoh berkempen

MAHDZIR Khalid (tengah) menyampaikan bantuan wang tunai daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada pelajar sempena Mini KUD di Stadium Mini Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO menyambut baik kelonggaran waktu ceramah dan berkempen yang dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam berbanding perlu ditamatkan dua jam lebih awal sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tambahan tempoh itu akan membolehkan kempen-kempen ditingkatkan  bagi memberikan penerangan kepada para pengundi.

Katanya, langkah yang diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil kira waktu yang dibenarkan terlalu singkat sekiranya penganjur menjemput lebih daripada seorang penceramah.

“Sebenarnya waktu sehingga pukul 12 tengah malam yang dibenarkan berceramah sama seperti kempen pilihan raya sebelum ini namun  perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

“Diharap penganjur mengambil langkah-langkah perlu supaya ceramah yang diadakan tidak melanggar  SOP yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Stadium Mini Pontian, di sini.

Semalam, SPR memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan cadangan pindaan dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah membangkitkan isu sama supaya SPR memberikan kelonggaran berkaitan waktu berkempen dan dibenarkan berceramah di bawah khemah.

Tambah Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, kelonggaran menganjurkan ceramah di luar bilik gerakan parti memberikan peluang kepada kempen dengan penyertaan mengikut kapasiti dibenarkan.

“Diharap semua pengerusi bilik gerakan atau Pusat Daerah Mengundi (PDM) dapat mengambil peluang yang diberikan SPR dengan sebaiknya berbaki sembilan hari tempoh berkempen,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yakin gerak kerja yang diketuai Pengarah Pilihan Raya BN Johor, Datuk Seri Mohamad Hassan dengan dibantu Ketua Penyelaras BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, BN berupaya meraih kemenangan besar.

Katanya, walaupun pihak pembangkang sentiasa memainkan pelbagai isu yang membangkitkan kebencian pengundi kepada BN, namun pihaknya percaya rakyat dapat membuat penilaian yang betul.

“Banyak telah dijelaskan mengapa PRN Johor perlu diadakan bukan kerana UMNO tamak dan rakus kuasa, namun untuk masa depan dan kestabilan politik Johor yang diperlukan bagi rakyatnya sendiri,” katanya. –UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya