Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin perumahan anggota

Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin perumahan anggota

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat kepada penerima, Sarjan Narendran Balakrishnan (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran di Kem Segamat, Johor, semalam. Turut sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kanan); Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua dari kiri) dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kementerian Pertahanan sentiasa memberi perhatian terhadap isu perumahan bagi memastikan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka terus terbela.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa meletakkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) dalam perancangan utama termasuklah dalam Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

Katanya, ini menunjukkan betapa penting agenda perumahan warga ATM kerana jasa perwira negara yang tidak terhitung dan pengorbanannya lebih daripada mereka yang berhak untuk tinggal di kediaman yang selesa dan selamat bersama ahli keluarga.

“Oleh sebab itu Perdana Menteri telah menetapkan usaha menyediakan lebih banyak RKMAT sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) saya selaku Menteri Kanan Pertahanan.

“Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa bulan ini sahaja beliau telah melihat sendiri 2,000 unit RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil November tahun lalu dan 305 unit RKMAT di Kem Segamat.

“Ini menggambarkan keseriusan kementerian untuk memelihara moral dan semangat para anggota melalui aspek kediaman bukan retorik dan hanya cantik di atas kertas. Sebaliknya RKMAT benar-benar dibina dan diserahkan kepada warga ATM mengikut perancangan,” katanya dalam Majlis Pelancaran RKMAT Kem Segamat melibatkan pasukan Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD) di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Sebanyak 305 unit kediaman RKMAT pelbagai kelas dibina di Kem Segamat itu yang merangkumi 25 unit rumah Pegawai dan 280 unit bagi anggota lain-lain pangkat.

RUMAH Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kem Segamat, semalam. – FOTO/FARIZ RUSADIO

Pembinaan itu dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 20.125 ekar pada tahun 2018 melibatkan peruntukan sebanyak RM147.7 juta bagi menampung keperluan kediaman buat pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Menurut Hishammuddin, segala perancangan dan pembinaan RKMAT itu hanyalah sebahagian kerana terdapat beberapa lagi RKMAT yang telah siap pembinaannya dan bakal atau telah diduduki.

“Ini terrmasuklah 223 unit pelbagai kelas RKMAT Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) Kem Semenggo yang telah diduduki pada 10 Mac 2021, 20 unit pelbagai kelas RKMAT 30 Briged (30 Bgd) Kem Oran yang pembinaannya telah siap sepenuhnya dan dilancarkan pada 21 Februari dan 204 unit pelbagai kelas RKMAT 13 RAMD Kem Pakit yang telah selesai diambil alih lembaga pada 16 Februari.

“Selain itu, terdapat 552 unit RKMAT melibatkan empat buah kem bakal siap tahun ini termasuklah 78 unit di 20 RAMD Kem Miri, 65 unit di 6 RAMD Kem Tok Jalai, 135 unit di Batalion Kedua Rejimen Sempadan (2 RS) Kem Tumbi dan 274 unit di 34 RAD, Kem Bera.

Tambah Hishammuddin, tiada istilah selesai dan berpuas hati dalam soal perumahan warga ATM meskipun sesiapa sahaja yang memimpin Kementerian Pertahanan mahu pun menjadi Perdana Menteri, kerana perancangannya akan sentiasa ditambah baik.

Sehubungan itu, katanya, Blueprint Perumahan Kementerian Pertahanan 3.0 akan dilancarkan dalam masa terdekat seperti mana disebut Perdana Menteri November lalu.

“Jumlah RKMAT yang akan dibina di bawah Blueprint Perumahan Kementerian Pertahanan 3.0 ini bukan kecil. Ia perancangan menyeluruh yang selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menitikberatkan kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya.

“Mudah-mudahan perancangan berkaitan Blueprint Perumahan 3.0 ini berjalan lancar dan diharapkan Perdana Menteri sekali lagi dapat bersama-sama kita seterusnya merasmikan Blueprint berkenaan. Insya-Allah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN