ALOR GAJAH: Seorang ibu hilang kata-kata dan hanya mampu memalingkan wajah setiap kali air matanya bercucuran ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-17 Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di Durian Tunggal di sini.
Azizah Ali, 55, hadir bersama suami, Taharin Abas, 56, dan anak sulung mereka, Nur Farzana, 28, bagi menerima sijil secara anumerta mewakili Allahyarham Mohamad Farhan Ashraf, 24, yang meninggal dunia pada 3 Jun 2021.
Mohamad Farhan Ashraf merupakan anak bongsu keluarga tersebut dan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Media Interaktif).
Taharin berkata, dia telah menziarahi kubur anaknya dua hari lalu untuk berkongsi berita mengenai majlis konvokesyen tersebut.
“Saya memang selalu ke kuburnya yang berdekatan rumah kami di Astana Raja, Negeri Sembilan, malah dua hari lalu pun saya ke sana.
“Saya beritahu arwah, kami sekeluarga akan ke UTeM untuk mengambil sijilnya yang diberikan secara anumerta oleh pihak universiti,” katanya penuh sebak ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, biarpun dia reda dengan ketentuan ilahi, namun pemergian Mohamad Farhan Ashraf amat dirasai terutama buat ibu dan kakaknya yang menjadi tempat arwah bermanja.
“Saya reda kalau itu sudah ketentuannya. Namun, isteri saya masih bersedih, kami terasa kehilangannya terutama setiap kali waktu makan bersama-sama.
“Arwah ini gemar makan, kalau di meja makan dialah yang akan menghabiskan lauk-pauk, tidak kisahlah apa-apa menu pun, semua dia suka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nur Fazana pula memberitahu, sebelum menghembuskan nafas terakhir, adiknya ada mengadu berasa penat.
“Kami tidak sangka pula, Adik terus pergi keesokannya, saya masih sedih kerana kami berdua memang sangat rapat,” katanya.
Istiadat yang berlangsung tiga hari bermula Isnin itu menyaksikan seramai 3,275 graduan menerima ijazah dan diploma. –UTUSAN ONLINE