REALITI sosial Malaysia tercabar apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mendedahkan seramai 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun ke bawah yang belum berkahwin direkodkan hamil antara 2020 hingga 2024.
Statistik ini dikumpulkan melalui fasiliti kesihatan kerajaan berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menunjukkan kehamilan luar nikah bukan sekadar fenomena terpencil tetapi petanda krisis nilai, pendidikan moral, psikologi dan sosial.
Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri, menegaskan usaha pencegahan sedang dijalankan melalui pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling, advokasi komuniti serta pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI).
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menyokong melalui Pusat Remaja KafeTEEN, yang menyediakan pendidikan reproduktif, klinik kesihatan dan kaunseling psikososial.
Kehamilan remaja luar nikah mencerminkan jurang nilai yang semakin melebar. Budaya pergaulan bebas, pengaruh hiburan digital dan kebergantungan media sosial yang membentuk persepsi hubungan seksual sebahagian daripada gaya hidup moden.
Remaja yang belum matang emosi dan agama mudah terperangkap apabila tidak dapat membezakan antara interaksi sosial sihat atau dorongan nafsu.
Islam menegaskan larangan zina bukan sekadar perintah moral tetapi prinsip pencegahan. Firman Allah SWT: “Janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (Surah al-Isra’: 32).
Larangan ini menekankan perlunya menutup setiap jalan yang boleh membawa perbuatan dosa melalui penjagaan aurat, adab pergaulan dan pemeliharaan maruah diri.
Implikasi remaja hamil tidak terhad kepada moral. Secara kesihatan, tubuh remaja yang belum matang menghadapi risiko anemia, tekanan darah tinggi, keguguran serta komplikasi kelahiran.
Dari segi psikologi, ketidakstabilan hormon meningkatkan risiko kemurungan, tekanan mental dan trauma. Stigma masyarakat pula menambah beban, menyebabkan sesetengah remaja menyorok, mengelak pemeriksaan antenatal atau berhenti sekolah, sekali gus menjejaskan pendidikan, peluang ekonomi dan harga diri.
Keluarga berperanan sebagai benteng utama maruah remaja. Nilai akhlak perlu dibentuk sejak awal melalui contoh ibu bapa, suasana rumah dan komunikasi terbuka.
Konsep tarbiyatul aulad mengajar anak berdisiplin dan membina iman secara bertahap. Firman Allah SWT menegaskan lelaki dan perempuan beriman harus menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan (Surah al-Nur: 30-31), sebagai panduan psikologi untuk menapis rangsangan dan melindungi maruah.
Sekolah dan komuniti juga perlu berperanan. Pendidikan kesihatan reproduktif harus disampaikan berlandaskan nilai, bukan sekadar fakta biologi. Model intervensi rakan sebaya, program halaqah, usrah, khidmat kaunseling masjid serta kem remaja Islam dapat membina karakter spiritual dan moral yang kukuh.
Islam mengajar anak yang lahir tidak berdosa, menolak stigma terhadap bayi hasil kehamilan luar nikah, sementara ibu yang tersasar perlu dibimbing dan dipulihkan.
Pencegahan, pemerkasaan iman dan pembinaan akhlak adalah kunci. Generasi yang kuat terbentuk melalui pendidikan berasaskan hikmah, kasih sayang dan syariat, bukan hukuman semata.
Membendung fenomena kehamilan remaja memerlukan kesatuan semua lapisan termasuk keluarga yang membimbing, sekolah yang mendidik, komuniti yang menyokong dan negara yang menyediakan dasar kukuh.
Masa hadapan umat bergantung kepada kemampuan membina remaja yang menghormati maruah, mematuhi syariat dan melihat iman sebagai pelindung diri, bukan sekadar sekatan hidup.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZRI BHARI
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
Universiti Teknologi Mara (UiTM) &
Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat,
Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)











