Berdasarkan statistik Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), lebih 1,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks atau pangkal rahim setiap tahun termasuk wanita muda seawal usia 30an.
Situasi ini membimbangkan kerana setiap tahun terdapat kematian pesakit kanser serviks yang dikatakan berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak sehingga ke peringkat akhir.
Walhal, vaksin HPV jika diambil berupaya mencegah 90 peratus insiden kanser serviks.
Menurut Pakar Perunding Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Sungai Petani, Dr. Shazril Imran Shaukat, kanser serviks merupakan ketumbuhan barah berasal daripada sel tisu abnormal yang tumbuh di bahagian pangkal rahim. Pangkal rahim atau serviks adalah kawasan di antara rahim dan faraj.
“Kanser serviks terjadi selepas proses berpanjangan perubahan sel daripada sel tisu serviks biasa ke sel abnormal yang bukan barah, kemudian ke sel pra kanser. Akhir sekali baharulah menjadi sel kanser.
“Tempoh ini kebiasaannya mengambil masa panjang sehingga kadang-kala mencecah kepada sepuluh tahun atau lebih. Disebabkan itu, sekiranya pesakit mengesan lebih awal berlakunya sebarang kewujudan perubahan tidak normal di serviks, langkah-langkah pencegahan efektif boleh diambil sebelum ketumbuhan abnormal menjadi kanser. Peluang pengesanan awal sangat baik, berbeza dengan kanser-kanser lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas tentang punca berlakunya kanser serviks, Dr. Shazril berkata, kanser serviks berpunca daripada virus Human Papillomavirus HPV jenis onkogenik seperti HPV 16 dan 18 yang wujud dalam badan manusia.
Tambahnya, terdapat lebih 100 jenis atau strain virus HPV namun hanya 14 strain yang mempunyai hubungkait dengan kanser serviks. Jenis atau strain yang berupaya menjadikan kanser diistilahkan sebagai onkogenik.
“Antara faktor lain yang boleh berisiko kepada kanser serviks ialah seperti mengamalkan gaya hidup tidak sihat sebagai contoh merokok atau bertukar pasangan kelamin. Dari segi melahirkan anak, wanita yang melahirkan anak sebelum usia 17 tahun berisiko lebih tinggi untuk kanser serviks berbanding dengan melahirkan anak pada usia umur 25 tahun.
“Selain itu, pengambilan pil perancang keluarga melebihi lima tahun juga merupakan salah satu faktor kepada berlakunya kanser serviks. Statistik menunjukkan 10 peratus daripada pesakit kanser serviks berkait dengan pengambilan pil perancang keluarga.
“Justeru, pengambilan pil perancang perlu disertai dengan kaunseling oleh doktor atau pakar perubatan tidak boleh diambil begitu sahaja. Ini supaya doktor atau pakar dapat menilai jenis kaedah perancang keluarga yang sesuai untuk pesakit berdasarkan latar belakang dan keadaan kesihatan pesakit,” ujarnya.
Rawatan
Dalam pada itu, Dr. Shazril turut menggalakkan, wanita melakukan saringan untuk pencegahan awal atau pra kanser.
Jelasnya, saringan pap smear boleh dilakukan ke atas wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun manakala saringan HPV DNA boleh dilakukan pada usia antara 30 hingga 59 tahun.
“Matlamat saringan pap smear dan ujian HPV DNA adalah untuk mengesan sel pada tahap abnormal bukan kanser dan pra kanser supaya dapat mencegah dari berubah kepada sel kanser.
“Pada 2018, seramai 1,682 pesakit baharu diagnos menghidap kanser serviks di Malaysia berdasarkan statistik Globocan Pertubuhan Kesihatan Seduania (WHO) dan terdapat 944 kematian dicatatkan tahun yang sama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan wanita menjalani vaksinasi HPV selain saringan ujian pap smear setiap tiga tahun sekali jika bacaan yang diperolehi normal dan ujian HPV DNA sebanyak lima tahun sekali.
Keluarga penguat semangat – Ellice
“Waktu datang bulan, saya ingat sakitnya belakang dan senggugut itu normal. Selepas pemeriksaan rapi saya dikesan kanser serviks,” luah Ellice Hendricks mengimbau pengalaman disahkan kanser dulu tahun lalu.
Isteri kepada Tim Hendricks ini mengakui sedih menerima kenyataan itu, tetapi suami di sisi sering memberikan galakan untuknya melawan sakit.
“Masa itu saya memang tidak dapat terima hakikat dan tertanya-tanya kenapa saya yang dipilih untuk menerima ujian ini. Saya menangis semahu-mahunya, suami menenangkan dan dialah yang banyak beri sokongan.
“Kata-kata perangsang dan dorongan suami menguatkan semangat saya untuk berjuang dan sentiasa mengingatkan diri, ini adalah ujian dan dugaan Tuhan untuk insan yang mampu menghadapinya,” katanya.
Mengimbas kembali detik hitam dalam hidupnya, Ellice berkata, simptom dialami pada 2018 iaitu senggugut, sakit belakang dan sakit perut semasa datang haid hanya diabaikan kerana dianggap perkara biasa bagi wanita.
Bagaimanapun, selepas tidak tahan menanggung kesakitan yang semakin buruk, dia dimasukkan kecemasan kerana terlalu sakit dan mendapatkan pemeriksaan di hospital dan ketika itu disyaki menghadapi UTI tetapi CT scan mendapati ada ketumbuhan di ovari.
“Ketika itu usia saya baru menginjak 38 tahun tapi sebelah ovari terpaksa dibuang dalam satu pembedahan. Sejak itu episod rawatan bermula dengan kemoterapi dan dia mengakui kali pertama melaluinya, dirinya begitu lemah dan sering loya,” ujarnya.
Selepas enam pusingan kemoterapi, sel kanser Ellice sembuh tetapi masih perlu menerima pemeriksaan setiap empat bulan.
Ellice mengakui sokongan kuat suami, keluarga, rakan dan orang terdekat amat membantu penyembuhan, menenangkan emosinya malah memainkan peranan bagi mengekalkan sikap positif pesakit untuk melawan penyakit. Tambahan pula apabila membabitkan penyakit berkaitan wanita seperti ovari dan payudara, kebanyakan wanita berasa begitu tertekan melihat keadaan diri yang dianggap sudah tidak sempurna kerana organ berkaitan terpaksa dibuang.
“Saya bersyukur suami tidak jemu memberi semangat, menyokong dan setia di sisi ketika bertarung dengan kanser sehinggalah saya sembuh,” katanya.










