KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah diingatkan agar tidak tertipu sekali lagi dengan muslihat digunakan Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN Sabah tidak harus membiarkan perkara yang berlaku pada PRN Sabah berulang.
“Semasa PRN Sabah, BN cuba dibunuh dengan cara halus menerusi muslihat politik. Jawatan Ketua Menteri yang dijanjikan milik BN kemudian ditukar kepada nama lain semasa penamaan calon malah, beberapa pemimpin UMNO turut diarah bertanding sebagai calon Bebas.
“Ketika itu, BN tidak kuat dan beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah Perdana Menteri.
“Jadi, kalau mahu menjadi kerajaan di Sabah, jangan biarkan ular itu patuk tempat yang sama. Kita patut bunuh ular itu sebelum ia patuk kita. Hanya BN yang boleh memainkan peranan tersebut,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Tri-Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini.
Pengerusi BN itu berkata, manipulasi politik terhadap BN semasa PRN Sabah sangat ketara maka, BN perlu belajar daripada pengalaman lampau dan memperbaiki kesilapan berkenaan.
Menurut Ahmad Zahid, BN tidak akan meletak kepercayaan melampau terhadap mana-mana parti atau individu sekali lagi. Mereka akan memberi keutamaan kepada parti sendiri untuk memastikan BN kekal relevan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga, dalam landskap politik Sabah.
Mengulas lanjut katanya, pada masa ini sokongan UMNO terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan berdasarkan prinsip sebaliknya hanya sekadar satu dukungan.
Katanya, UMNO juga mendukung sekiranya GRS didaftarkan namun, ia hanya sekadar dukungan sahaja. Selaku parti teras dalam komponen BN, keutamaan UMNO adalah terhadap BN dan ia termaktub dalam Perlembagaan BN.
Jika dirujuk kepada Akta Pertubuhan 1966 juga disebutkan bahawa parti-parti gabungan boleh disertai oleh sesebuah parti namun, sebuah parti tidak boleh menyertai lebih daripada satu parti gabungan.
“Apa yang penting pada PRU akan datang, perkukuhkan BN dan itu menjadi keutamaan kita. Soal siapa menjadi rakan kerjasama kita menjelang PRU, perkara ini akan difikirkan kemudian.
“Paling penting, apabila parti-parti komponen BN meletak calon, calon itu wajib dimenangkan oleh seluruh jentera BN kerana ini penting untuk kita membentuk kerajaan yang stabil di Putrajaya nanti,” katanya.
Hadir sama ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup,;Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.- UTUSAN