TUMPAT: Dua pengedar pil kuda tersilap langkah apabila mereka dicekup polis ketika dikatakan sedang menunggu pelanggan di dua lokasi berasingan di Wakaf Bharu dan Pasir Pekan di sini semalam.
Dalam kejadian masing-masing pukul 6.50 petang dan 9.30 malam, polis turut merampas sejumlah pil kuda dianggarkan bernilai RM90,000.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, suspek pertama ditahan berhampiran sebuah premis perniagaan di Wakaf Bharu pada pukul 6.50 petang.
Menurutnya, ketika diserbu, suspek berusia 26 tahun berada di atas sebuah motosikal dan dipercayai sedang menunggu pelanggan yang berurusan dengannya untuk membeli pil kuda.
“Pemeriksaan pada tubuh badan suspek berjaya menemukan sebanyak 1,000 biji pil kuda bernilai RM10,000 di dalam genggaman tangannya.
“Suspek mengaku mengambil upah RM100 untuk mengedarnya. Semakan lanjut mendapati dia ada rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azmir berkata, dalam serbuan kedua, polis menahan lelaki berusia 28 tahun berhampiran sebuah kedai makan di Pasir Pekan kira-kira pukul 9.30 malam hari sama.
Menurutnya, pemeriksaan dalam sebuah beg dipakai suspek telah membawa kepada penemuan 8,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM80,000.
“Semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkait jenayah dan narkotik selain pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya.
Kata beliau, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka dipercayai tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE