MARAN: Pekerja kedai Ayam Pasu di simpang jalan Felda Jengka 10 ke laluan utama Bandar Tun Abdul Razak Jengka dan Jerantut di sini, tidak sanggup lagi melihat kemalangan yang kerap berlaku di situ sejak berniaga lebih 10 tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pekerja terbabit, Mohd. Supian Jamil, 35, berkata, kemalangan boleh dikatakan berlaku setiap bulan di simpang berkenaan kerana ketiadaan garisan putih selain jalan yang gelap kerana tiada lampu.
Katanya, ketiadaan garisan putih menyukarkan pemandu kereta menganggarkan kedudukan mereka untuk keluar dari simpang berkenaan.
“Pemandu kereta berhenti di tempat yang tidak sepatutnya kerana tiada garisan putih. Apabila kereta dari simpang hendak ke laluan sebelah kanan menuju ke Jerantut, kereta atau motosikal yang berada di kedudukan keluar simpang ke kiri tidak nampak kereta dari arah kanan lalu apabila mereka keluar, sering berlaku pertembungan dan menyebabkan kemalangan,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, pada waktu malam pula, jalan menjadi gelap dan penunggang motosikal khususnya tidak nampak jalan yang rosak dan berlubang malah ada terbabas apabila terlanggar lubang berkenaan.
“Jalan simpang ke kiri menuju ke bandar Jengka ini sudah lama berlubang dan keadaan semakin teruk.
“Kalau malam, penunggang motosikal yang tidak biasa dengan jalan ini tidak nampak lubang berkenaan kerana jalan gelap,” katanya yang berasal dari Felda Jengka 11 di sini.
Selain berharap agar jalan berkenaan diletakkan garisan putih dan lampu jalan, Mohd. Supian juga meminta pihak berwajib dapat menyediakan lampu isyarat di simpang berkenaan.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman, 70, pula berkata, dia dan dua lagi ketua peneroka di Felda Jengka 11 dan Felda Jengka 1 sudah beberapa kali sejak 2013 memohon agar jalan berkenaan ditambah baik.
“Jalan ini melibatkan tiga buah Parlimen iaitu Parlimen Maran, Parlimen Jerantut dan Parlimen Kuala Krau,” katanya. – UTUSAN ONLINE