PETALING JAYA: Pendirian UMNO adalah terang lagi bersuluh apabila berpendirian Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ini kerana misi UMNO dan BN seterusnya adalah untuk terus mara ke hadapan.
“Pas terus melemparkan segala ugutan, tohmahan dan sanggahan terhadap UMNO. Tiada faedahnya terus melayan kerenah Pas.
“Pendirian UMNO terang lagi bersuluh. Hanya Pas yang tidak tahu apa yang ia kehendaki. Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka dibuang sayang, ditelan pahit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam media melaporkan, BN akan bertanding secara solo dalam PRN Johor, pendekatan sama seperti dalam PRN Melaka sebelum ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan trend sokongan yang telah kembali semula kepada BN.
Menurut Khaled, perkara yang akan menentukan kemenangan BN di PRN Johor adalah sokongan masyarakat pelbagai kaum, maka keutamaan mesti diberikan untuk meraih sokongan masyarakat majmuk Johor.
Oleh itu katanya, rakan-rakan UMNO dalam BN mesti memahami perkara itu bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan kepada UMNO semata-mata.
“Mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, parti komponen BN yang lain juga perlu meningkatkan sokongan bukan Melayu yang semestinya menjadi strategi paling penting berikutan terdapat dua sebab mengapa ia sangat penting.
“Pertama, kita mesti kembali kepada formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen. Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif. Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok.
“Kedua, masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam kerajaan dan pentadbiran. Telah sampai masanya mereka menjadi sebahagian dari kerajaan dan menguruskan negeri dan negara ini secara bersama dengan UMNO, parti terbesar orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak juga perlu menerima hakikat bahawa hanya dengan UMNO, kestabilan politik dan perkongsian kuasa itu boleh diuruskan dengan jayanya.
“Selama 61 tahun pengundi bukan Melayu memberikan kepercayaan kepada BN. Sekarang adalah masa untuk kembali ke pangkuan BN. Walaupun BN bukan sempurna, tetapi ia pasti lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional dalam menjamin kepentingan politik bukan Melayu,” jelasnya.