GAZA: Kanak-kanak di Semenanjung Gaza sekali lagi berdepan kekecewaan apabila sesi persekolahan baharu terpaksa ditangguhkan buat tahun ketiga berturut-turut akibat perang yang tidak berkesudahan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata konflik yang berlarutan bukan sahaja meragut ribuan nyawa, malah merampas hak asasi generasi muda untuk mendapatkan pendidikan yang sepatutnya dilindungi.
“Pendidikan adalah hak asasi. Tiada seorang pun kanak-kanak yang patut dinafikan hak ini. Akses kepada pendidikan mesti dipelihara dan dipulihkan,” tegasnya dalam satu sidang media di New York.
Beliau berkata, krisis ini mengancam masa depan seluruh generasi kanak-kanak di Gaza, selain risiko semakin meningkat akibat bahan letupan yang masih berselerakan berikutan operasi ketenteraan Israel.
Menurut Dujarric, operasi ketenteraan di utara Gaza dan arahan pengusiran terbaru boleh memaksa penduduk meninggalkan kawasan yang menempatkan fasiliti penting untuk kelangsungan hidup sekaligus menambah risiko kemusnahan infrastruktur asas, termasuk sekolah.
Beliau turut mendedahkan usaha pelbagai pertubuhan antarabangsa untuk membawa masuk bekalan perlindungan ke Gaza terus dihalang Israel, meskipun penduduk amat memerlukan penggantian khemah dan terpal yang sudah rosak akibat perpindahan berulang kali.
Sejak 7 Oktober 2023, serangan balas ketenteraan Israel telah meragut hampir 63,000 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Serangan itu dilancarkan susulan operasi pejuang Hamas yang mengorbankan sekitar 1,200 rakyat Israel serta menculik kira-kira 250 tebusan.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraannya di wilayah berkenaan. -AGENSI










