PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dusuki meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertimbangkan kembali penguatkuasaan semula caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank (MEPS) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Beliau berkata, tindakan itu dilihat sebagai tidak prihatin kepada keadaan semasa rakyat yang masih bergelut dengan kekurangan tunai dan peluang pekerjaan yang rendah serta harga barangan keperluan asas yang berterusan mencanak naik.
Malah katanya, tinjauan ekonomi bagi tahun 2022 juga menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lembab bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat.
“Sudahlah moratorium pinjaman bank mulai berakhir, manakala sehingga hari ini #TuntutanRakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10,000 wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) mereka juga masih dipandang sepi oleh kerajaan.
“Bagi memastikan konsep dan falsafah Keluarga Malaysia ini dirasai oleh rakyat kebanyakan, adalah perlu bagi kerajaan untuk meneruskan pengecualian caj RM1 ini untuk sekurang-kurangnya satu tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan pengecualian caj RM1 pada sistem MEPS pada 6 April 2020 bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, caj transaksi RM1 dikenakan semula kepada pengguna mulai 1 Februari lalu melibatkan pengeluaran wang tunai di ATM antara bank.
Menurut Asyraf Wajdi, Pergerakan Pemuda UMNO tidak melihat ada sebarang masalah bagi bank-bank utama tempatan untuk menyerap caj RM1 berkenaan demi rakyat.
Katanya, ini kerana semakan keuntungan terkumpul bagi tahun 2021 sehingga 30 September 2021 mencecah puluhan billion ringgit.
“Maybank (RM6.04 billion), Public Bank (RM4.28 billion), CIMB (RM3.44 billion), Hong Leong Bank (RM2.17 billion), RHB (RM1.99 billion), AMMB (RM707.64 juta), Bank Islam (RM454.67 juta), Affin Bank (RM320.09 juta), Alliance Bank (RM315.75 juta).
“Justeru sekali lagi Pemuda UMNO mendesak agar Menteri Kewangan untuk lebih berpihak kepada rakyat yang sedang susah dan gelisah dengan memenuhi tuntutan mereka termasuklah menarik balik keputusan untuk mengenakan caj pengeluaran ini,” katanya.