SEREMBAN: Pengasuh kepada Nour Rania Asyifaa Yuseri atau lebih dikenali sebagai ‘Baby Syifaa’ dijatuhi hukuman penjara selama setahun serta denda RM15,000 atas pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi berusia 15 bulan itu, empat tahun lalu.
Hakim, N.Kanageswari menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 41, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Selain itu, tertuduh turut dikenakan perintah khidmat masyarakat selama 48 jam dalam tempoh enam bulan selepas keluar penjara serta dikenakan bon kelakuan baik selama setahun sebanyak RM5,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Penolong Pengarah Pendakwaan Negeri, Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron manakala tertuduh diwakili peguam, S.Kavittha.
Turut hadir pada prosiding berkenaan, ibu bapa Baby Syifaa iaitu Anida Idrus,44, dan Yuseri Yusoff,42.
Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan, Nour Rania Asyifaa, yang berusia 15 bulan itu didakwa mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan di sini pada 22 Februari 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Pada 31 Julai 2024 Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak disedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan adalah disebabkan tekanan pada leher.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu bapa bayi berkenaan sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September 2022. – UTUSAN










