Tak perlu bubar Parlimen lebih awal - Pas - Utusan Malaysia

Tak perlu bubar Parlimen lebih awal – Pas

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parlimen tidak perlu dibubarkan dalam masa terdekat dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula tidak perlu dibuat lebih awal memandangkan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat ketika ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ketika menegaskan perkara itu berkata, setakat ini, kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih stabil dan mampu berfungsi dengan baik.

Kata beliau, kestabilan itu turut disumbangkan oleh Pakatan Harapan (PH) menerusi memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani pada 13 September lalu.

“Dari sudut itu, kita lihat tiada keperluan untuk menjalankan PRU-15 kecuali jika wujudkan ‘gangguan’ daripada pihak pembangkang yang boleh menjejaskan kestabilan serta majoriti kerajaan.

“Dari segi untuk mendapatkan semula mandat rakyat itu betul.. cuma kita perlu lihat peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang sudah mencecah 10,000 kes ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Terdahulu Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar merasmikan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sumbangan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022.

Akhbar ini semalam melaporkan gesaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya Parlimen segera dibubarkan bagi memberi kuasa kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil untuk mentadbir negara.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, sekiranya PRU-15 dibuat dalam masa terdekat, berkemungkinan besar kes Covid-19 akan terus meningkat, sekali gus meletakkan kesihatan rakyat dalam bahaya.

“Kalau ikutkan saya sebagai orang politik memang hendak pilihan raya supaya kita dapat menentukan kerajaan yang kukuh. Sebab sekarang ini kerajaan yang ada agak terumbang-ambing. 

“Tetapi keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diutamakan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN