GRS dan PN nyatakan kesiapsiagaan hadapi PRN

GRS dan PN sudah bersedia hadapi PRN

RINA JAINAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam tempoh dua minggu lagi terus menjadi tumpuan politik negeri, meskipun tiada pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri setakat ini.

Beberapa pemimpin parti politik rata-rata telah menjangkakan pembubaran DUN akan dibuat pada September berdasarkan keadaan politik semasa di negeri itu.

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Rina Jainal berkata, pengumuman rasmi itu tidak mengejutkan kerana memang sudah tiba waktunya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau ikut tempoh matang, bulan November DUN akan terbubar sendiri. Jadi bila-bila masa dalam tempoh terdekat ini ia tetap akan berlaku. Kita di peringkat kerajaan negeri juga sudah menjangkakan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui pengumuman pembubaran mungkin dianggap kurang sesuai berdasarkan sentimen semasa oleh sesetengah pihak, namun menegaskan GRS yakin keputusan pimpinan parti adalah tepat.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan. Kalau itu masa terbaik, kita terima. Apa yang penting, rakyat diberi peluang untuk membuat keputusan,” ujarnya.

Mengenai persiapan menghadapi PRN, beliau menegaskan jentera parti di peringkat kawasan sudah lama digerakkan.

“Kita sudah bekerja bersama jentera sejak awal lagi dan berusaha menangkis sentimen dimainkan pihak pembangkang. Harapan saya, rakyat menilai berdasarkan kerja dan bukti, bukan sekadar emosi atau provokasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, turut menjangkakan DUN akan dibubarkan pada September ini dan menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia sepenuhnya.

“Jentera kita sudah solid dan boleh digerakkan pada bila-bila masa. Dari segi kerusi, sebahagian besar sudah selesai perbincangan, selebihnya masih diteliti. Sasaran kita memang September, paling lewat selepas Hari Malaysia,” katanya.

Menurutnya, PN Pusat juga telah melantik Datuk Seri Hamzah Zainudin, sebagai pengerusi jawatankuasa pilihan raya peringkat negeri Sabah.

“Perbincangan terperinci di peringkat negeri akan diadakan tidak lama lagi,” jelas beliau.

Dengan jangkaan pembubaran DUN semakin hampir, landskap politik Sabah dijangka kembali hangat dengan pelbagai parti memperkemas strategi dan senarai calon masing-masing menjelang PRN akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam membayangkan pembubaran DUN akan dibuat dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

DUN Sabah dijadual terbubar secara automatik pada 11 November ini apabila tempoh penggal lima tahun tamat, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×