PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan memberi jaminan, prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan lebih longgar berbanding SOP sewaktu PRN Melaka dan Sarawak.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kelonggaran itu mengambil kira tiada wujudnya sebarang kluster jangkitan Covid-19 di dua PRN tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, perincian berhubung SOP di PRN Johor itu hanya akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum hari penamaan calon.
“SOP PRN Johor ada sedikit kelonggaran. Saya melihat daripada segi dua perkara, PRN Melaka dan Sarawak ramai mengecam kerana saya membenarkan PRN Melaka dan Sarawak sedangkan pada waktu itu, kami sudah yakin dengan liputan vaksinasi, SOP yang ketat dan tidak akan berlaku peningkatan kes.
“Saya juga menyimpan banyak komen dalam media sosial bahawa saya nak memudaratkan kesihatan negara dengan membenarkan PRN. Sekarang ini akan berlaku peningkatan kes disebabkan negara sedang mengalami gelombang Omicron tetapi bezanya seperti saya sebut tadi saya mengharapkan kes tidak bergejala teruk dan boleh diteruskan dengan mengadakan pilihan raya.
“SOP masih agak ketat namun bukan seperti sebelum pandemik Covid-19 kerana ada perkara Kementerian Kesihatan tidak benarkan dan perkara yang dibenarkan, serta lebih banyak benda saya akan benarkan berbanding PRN Melaka dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan Antara Wellness Hub Kementerian Kesihatan dan Rakan Strategik di Wellness Hub, Bagan Pinang di sini hari ini.
Sementara itu, menurutnya, PRN Johor dibenarkan untuk dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan membuat kajian kesan gelombang Omicron ini kepada kesihatan awam.
“Kementerian Kesihatan telah membuat kajian daripada kesan Omicron terhadap kesihatan awam dan daripada segi liputan vaksinasi, apabila melihat kami masih lagi yakin PRN boleh dilaksanakan, sekali lagi terpulang pematuhan daripada orang ramai termasuk pemimpin politik.
“Negara lain boleh mengadakan pilihan raya, kita sudah ada dua PRN, tiada masalah dan tiada peningkatan kes,” katanya lagi. –UTUSAN