KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengeluarkan warta pihak ketiga berhubung wang berjumlah RM169 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dengan warta tersebut, mana-mana pihak yang mungkin mempunyai hak atau kepentingan terhadap harta yang sedang disita atau dirampas oleh pihak berkuasa untuk meminta atau menuntut harta berkenaan dipulangkan kepada mereka.
Hakim Suzana Hussin mengeluarkan warta tersebut selepas dimaklumkan Ahli Parlimen Bera dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd. Yunus tidak berhasrat mencabar prosiding berkenaan.
“Saya benarkan permohonan untuk mengeluarkan warta pihak ketiga sekiranya ada pihak lain yang mempunyai kepentingan terhadap harta yang disenaraikan.
“Tarikh bicara bagi pihak ketiga hadir di mahkamah kekal pada 1 Oktober ini,” katanya.
Mahkamah mengeluarkan warta tersebut mengikut Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah bahawa responden pertama dan kedua telah menghantar sepucuk surat melalui peguam bela mereka pada 28 Ogos lalu.
Ketika prosiding berlangsung, beliau berkata, kandungan surat berkenaan menyatakan kedua-dua responden tidak lagi berhasrat untuk mencabar permohonan yang difailkan pihak pendakwaan, selain turut memutuskan untuk tidak hadir pada mana-mana tarikh sebutan akan datang.
“Saya mohon mahkamah mengesahkan kandungan surat itu kepada kedua-dua responden,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, pada 22 Ogos lalu, pihaknya telah menyerahkan satu representasi rasmi kepada Pendakwa Raya.
Susulan itu, pihaknya turut menghantar surat bertarikh 28 Ogos untuk mengesahkan bahawa responden tidak berhasrat meneruskan atau mencabar permohonan berkenaan.
Sehubungan itu, Mahadi memohon mahkamah mengeluarkan warta pihak ketiga terbabit dan menyatakan pihaknya akan cuba menyegerakan proses tersebut.
Sebelum ini, SPRM memohon perintah mahkamah untuk melucut hak wang berkenaan yang disita daripada Mohammad Anuar kepada Kerajaan Malaysia.
Antara wang yang disita termasuk RM14.7 juta, SG\$6.1 juta, US\$1.46 juta, CHF3 juta (Swiss Franc), EUR12.1 juta, JPY363 juta (Yen), GBP50,250, NZ\$44,600, AED34.7 juta (Dirham Emiriah Arab Bersatu) dan AUD352,850.
SPRM turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta selain wang tunai dalam pelbagai mata wang asing ketika siasatan terhadap beberapa pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan Februari lalu. – UTUSAN










