YANGON: Bekas pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang kini ditahan oleh pihak tentera dilaporkan mengalami masalah jantung yang semakin serius dan memerlukan rawatan segera, menurut anaknya pada Jumaat
Anaknya, Kim Aris turut merayu pembebasan segera ibunya daripada tahanan yang disifatkan sebagai kejam dan mengancam nyawa.
Aris memberitahu Reuters ibunya yang berusia 80 tahun meminta untuk berjumpa pakar kardiologi kira-kira sebulan lalu, namun tidak pasti sama ada permintaan itu sudah dipenuhi.
“Tanpa pemeriksaan perubatan yang sewajarnya mustahil untuk mengetahui keadaan sebenar jantungnya. Saya amat bimbang. Tidak ada cara untuk mengesahkan sama ada beliau masih hidup atau tidak,” katanya melalui panggilan telefon dari London.
Menurut Aris, penerima Hadiah Keamanan Nobel itu juga mengalami masalah tulang dan gusi malah, khuatir ibunya mungkin cedera dalam gempa bumi pada Mac lalu yang meragut lebih 3,700 nyawa.
Dalam satu video di Facebook, dia merayu supaya Suu Kyi dan semua tahanan politik di Myanmar dibebaskan.
Jurucakap tentera, Zaw Min Tun bagaimanapun menafikan laporan tersebut, menyifatkannya sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada lawatan Ketua Junta, Min Aung Hlaing ke China, di mana beliau bertemu Presiden, Xi Jinping dan menghadiri perbarisan tentera.
“Kesihatan Suu Kyi baik-baik sahaja. Mereka mereka-reka maklumat ini kerana pemimpin kami berada di China dan melakukan banyak aktiviti, dan mereka mahu menutup berita ini,” katanya di MRTV.
Sejak rampasan kuasa Februari 2021, Myanmar terus dilanda keganasan, dengan protes besar-besaran yang ditindas secara kejam sehingga mencetuskan pemberontakan bersenjata meluas.
Suu Kyi, simbol lama gerakan prodemokrasi Myanmar, kini menjalani hukuman penjara 27 tahun atas tuduhan termasuk hasutan, rasuah dan penipuan pilihan raya yang beliau nafikan.
Antara penampilan awam terakhirnya adalah di mahkamah pada Mei 2021, beberapa bulan selepas rampasan kuasa, apabila gambar di televisyen negeri menunjukkan beliau duduk di kandang tertuduh dengan tangan di atas riba dan memakai pelitup muka.
Kerajaan interim yang disokong tentera merancang untuk mengadakan pilihan raya baharu secara berfasa bermula hujung Disember ini, yang pertama sejak rampasan kuasa.
Namun, kumpulan antijunta termasuk parti Suu Kyi sama ada memboikot atau dihalang daripada bertanding, manakala hanya parti yang disokong tentera dibenarkan menyertai.
Negara-negara Barat mengkritik pilihan raya itu sebagai usaha untuk mengukuhkan kuasa jeneral.
Dilahirkan pada 1945, Suu Kyi ialah anak kepada wira kemerdekaan Myanmar, Jeneral Aung San yang dibunuh ketika beliau masih bayi.
Beliau menghabiskan hampir dua dekad dalam tahanan, termasuk kira-kira 15 tahun tahanan rumah di kediaman keluarganya di Tasik Inya, Yangon.
Berpendidikan di Universiti Oxford, Suu Kyi berkahwin dengan sarjana Britain, Michael Aris pada 1972 dan mempunyai dua anak lelaki, sebelum kembali ke Myanmar pada 1988 untuk menjaga ibunya yang sakit.
Pada tahun sama, beliau menyertai protes menentang pemerintahan tentera, menubuhkan Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dan muncul sebagai tokoh utama prodemokrasi negara itu.










