PORT DICKSON: Sembilan individu yang sedang leka berjudi ditahan dalam serbuan Op Limau dan Tahun Baharu Cina di sebuah rumah di Kampung Sawah, Bukit Pelanduk di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham berkata, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menyerbu rumah tersebut pada pukul 4.45 petang, Ahad lalu.
“Sebaik sahaja tiba, pihak polis masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci itu dan menahan seorang lelaki yang sedang berjalan dari dapur rumah.
“Seterusnya, pasukan serbuan pergi ke bahagian dapur dan melihat empat lelaki sedang leka bermain judi manakala tiga lagi lelaki dan seorang wanita berada bersebelahan sedang memerhatikan orang yang bermain judi,” katanya dalam kenyataan.
Aidi Sham berkata, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lapan orang lelaki dan seorang wanita berusia antara 37 hingga 64 tahun.
“Pasukan serbuan kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut dan merampas 112 batu Gin Rummy, dua biji dadu, sebuah meja, empat buah kerusi, empat helai kertas Mahjong dan satu bekas yang mengandungi wang tunai RM43.
“Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM960 di atas meja yang dijadikan sebagai pertaruhan,” katanya.
Menurut Aidi Sham, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan rekod lampau mendapati lima orang tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau kes jenayah dan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.