Masalah brek punca nahas Plaza Tol Bukit Kajang

Masalah brek punca nahas Plaza Tol Bukit Kajang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah brek dipercayai punca kemalangan membabitkan lori muatan barangan lusuh dan beberapa kenderaan sehingga mengorbankan seorang bayi lelaki di Plaza Tol Bukit Kajang, Kajang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu seorang lelaki di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dari arah Semenyih ke Putrajaya mengalami masalah ketika tiba di lokasi kejadian.

Katanya, hal itu menyebabkan lelaki itu gagal mengawal kenderaan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menunggu giliran di lorong ke lapan dan ke sembilan di Plaza Tol Bukit Kajang.

“Lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memandu lori itu ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Semakan rekod mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah dan mempunyai empat saman trafik,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, ujian saringan awal air kencing dan alkohol dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu negatif penggunaan dadah dan tidak berada bawah pengaruh alkohol.

“Akibat dari kejadian tersebut, mangsa bayi lelaki berusia 1 tahun 4 bulan meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh lagi mangsa sedang mendapatkan rawatan di hospital” jelasnya.

Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×