Rundingan Muda dan PKR belum muktamad - Utusan Malaysia

Rundingan Muda dan PKR belum muktamad

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rundingan pembahagian kerusi antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini masih belum dimuktamadkan.

Biro Politik Muda dalam satu kenyataan memberitahu, Muda menghormati hak rakan-rakan PKR untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada. 

“Namun begitu, PKR belum lagi memberikan kata putus berkenaan tiga kerusi tersebut. Muda yakin dan percaya bahawa atas semangat kebersamaan dan demi rakyat Johor, satu rundingan yang telus dan jujur perlu dibuat.

“Muda juga mencadangkan agar setiap intipati rundingan diselesaikan bersama secara sulit sebelum diumumkan ke pihak media atas semangat ketelusan bersama,” ujarnya. 

Muda memaklumkan, pihaknya telah menjalani beberapa siri rundingan bersama-sama PKR, DAP dan Amanah berhubung pembahagian kerusi sebelum ini.

Rundingan pertama katanya dibuat melibatkan wakil keempat-empat parti berkenaan dan telah dipersetujui Muda untuk menjalankan rundingan bilateral bersama-sama setiap parti.

“Menerusi rundingan bilateral, Muda serta rakan-rakan daripada DAP dan Amanah telah mencapai persetujuan dan telah membuat pengumuman bersama-sama,” katanya.

Semalam, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh memaklumkan, Muda ditawarkan tiga kerusi daripada parti itu selepas hasil beberapa rundingan yang dijalankan, namun masih menanti jawapan daripada pihak Muda.

“Berhubung isu agihan kerusi, PKR telah mengadakan tiga siri rundingan bersama dengan Muda selari menepati hasrat yang dinyatakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan PH Johor.

“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing telah memberi pandangan secara jujur dan terbuka. Hasil rundingan ini, PKR telah menawarkan tiga kerusi kepada Muda dan sedang menunggu maklum balas berhubung tawaran tersebut,” katanya.

Terdahulu, Muda mengumumkan akan bertanding enam kerusi dalam PRN Johor iaitu di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai. -UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN