KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM266,875 kompaun dikeluarkan terhadap perokok di negeri ini yang dikesan merokok di kawasan larangan sepanjang tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 1,016 kompaun di samping 1,949 notis 32B hasil pemeriksaan yang dilakukan di 33,127 premis.
Katanya, kesalahan tertinggi dikesan di Dungun dengan sebanyak 370 kompaun dikeluarkan diikuti Kemaman (214 kompaun), Marang (163 kompaun), Hulu Terengganu (85 kompaun), Setiu (63 kompaun), Besut (51 kompaun), Kuala Terengganu (46 kompaun) dan Kuala Nerus (24 kompaun).
“Bagaimanapun, kesemua kompaun itu sudah diselesaikan dengan melibatkan pembayaran sebanyak RM178,971.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak merokok di kawasan larangan bagi mengelakkan dikenakan tindakan di samping untuk melindungi golongan bukan perokok daripada bahaya asap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kasemani berkata, pada 2020, sebanyak 1,820 kompaun di samping 3,226 notis 32B dikeluarkan melibatkan nilai RM425,200. – UTUSAN










