Risikan bongkar drama peniaga mafia ‘cuci duit’ - Utusan Malaysia

Risikan bongkar drama peniaga mafia ‘cuci duit’

AZMAN ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Taktik segelintir peniaga cuba menyembunyikan perolehan hasil aktiviti kotor masih boleh dijejak oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ini termasuk meskipun berselindung di sebalik pelbagai akaun bank atas nama berbeza bagi menutup kesan aliran tunai kegiatan pengubahan wang haram sukar dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Penguat kuasa kementerian, Azman Adam berkata, walaupun kerja itu amat rumit dan mengambil masa lama, pihaknya ada strategi sendiri bagi membongkar kes sedemikian.

“Selain maklumat daripada sumber orang awam, kami juga ada kaedah risikan pasaran yang bergerak senyap buat intipan tanpa peniaga itu sedar sebelum mereka dicekup,” jelasnya.

Beliau ditemui di pejabatnya di sini semalam bagi memaklumkan kejayaan bahagian tersebut dalam menangani jenayah komersial ekonomi hitam atau lazim disebut pasaran gelap mafia.

Secara keseluruhan dari 2016 sehingga tahun lalu, sebanyak 47 kes direkodkan dengan nilai akaun bank dibekukan berjumlah RM307.8 juta dan penyitaan yang mencecah RM204 juta.

Kesemua peniaga itu disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Lebih membanggakan, kes tersebut dikendalikan sendiri Seksyen Pengubahan Wang Haram (AMLA) ditubuhkan kementerian itu pada 2008 lalu yang kini memiliki kekuatan 16 pegawai.

“Mungkin tidak ramai tahu, kami sering buat risikan pasaran di lapangan setiap masa dengan petugas berpakaian preman menyamar bagi mengesan kegiatan kotor peniaga,” kata Azman.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh, ada pengilang mengeluarkan barang keperluan harian cukup tetapi pengguna peringkat akhir di pasaran pula mendakwa tidak dapat membeli stok.

Keadaan aneh itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan ramai malah ada terkeliru dan salah faham konon kementerian gagal berbuat apa-apa membiarkan orang awam terputus bekalan.

Sedangkan realitinya, ujar beliau, ada pihak tertentu di peringkat pemborong dan peruncit yang sengaja bertindak mengambil peluang menyorok barang sebelum dijual dengan harga tinggi.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa individu terbabit berada dalam ‘radar’ kementerian meskipun suspek bijak berlakon dengan tinggal di rumah murah atau memandu kereta kecil.

“Kaedah ‘drama’ itu sengaja kaburi penguat kuasa padahal, hasil duit haram disimpan dalam akaun lain atau dia beli hartanah atau kenderaan mewah atas nama berbeza,” tegas Azman.

Hukuman berat boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan sama ada penjara maksimum 15 tahun atau denda RM5 juta atau lima kali ganda nilai rampasan atau yang mana lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN