ALOR GAJAH: Kehadiran pelancong ke Melaka sempena Tahun Baharu Cina dimanfaatkan sepenuhnya para peniaga untuk menambah pendapatan.
Tinjauan Mingguan Malaysia di sekitar Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Pantai Sungai Tuang di Masjid Tanah dekat sini mendapati, puluhan peniaga rancak melakukan aktiviti jual beli.
Seorang peniaga, Noorhafizah Mohd. Yassin, 44, berkata, hasil jualan aiskrimnya meningkat sekali ganda berikutan kehadiran pelancong yang luar biasa pada hari pertama perayaan itu.
Katanya, lebih 100 kon aiskrim dan 60 keping roti pelangi dijual dengan nilai jualan mencecah hampir RM400 sehari.
“Ini adalah kali pertama saya berniaga kerana sebelum ini hanya ikut katering. Tidak sangka pula sambutan yang diterima sangat baik terutama menu aiskrim roti pelangi.
“Keadaan cuaca yang panas dan kehadiran ibu bapa bersama anak-anak ke pantai membantu menaikkan jualan. Jika sambutan yang diterima terus menggalakkan, insya-Allah saya kekal berniaga di kawasan ini,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ishak Hussin, 53, berkata, dia menambah sebuah lagi balang air kelapa bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurutnya, dia hanya menyediakan satu balang air kelapa serta tebu dan tidak menyangka jualannya habis seawal pukul 4 petang.
“Hendak jual 75 cawan air balang pun sukar pada hari biasa, namun keadaanya berbeza apabila saya menambah stok cawan, ais dan air kerana orang ramai tidak putus-putus singgah ke gerai.
Tambahan cuaca yang panas menjadikan air balang saya sebagai pilihan untuk menghilangkan dahaga.
“Saya rasa satu kerugian apabila tidak mengambil peluang sebaiknya pada musim cuti panjang ini untuk menjana lebih banyak pendapatan. Justeru, saya akan menyediakan balang air tambahan sepanjang minggu ini,” katanya. – UTUSAN










