PETALING JAYA: Pemergian kanak-kanak yang meninggal dunia terjatuh dan terperangkap pada kedalaman 32 meter kini diratapi orang ramai..
Ini selepas nama kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu kini sohor di laman media sosial, Twitter hari ini.
Seorang warganet menggunakan nama @hxdzilaa berkata, Rayan menunjukkan kepada kita bahawa kemanusiaan benar-benar wujud.
“Sesungguhnya Allah lebih menyayanginya daripada kita. Terima kasih Rayan, kerana bertahan sendirian dalam terowong selama lima hari sehingga kamu keluar dengan selamat dan menunjukkan kepada kami bahawa kamu benar-benar ‘malaikat’ yang kuat. Al-Fatihah Rayan,” katanya, hari ini.
Sementara itu, warganet yang menggunakan nama @theone_xyz berkata, Rayan telah ditemui dan dibawa keluar dari perigi, tetapi sedihnya apabila dia tidak berjaya.
“Kita semua tahu betapa penatnya awak. Berehatlah ‘malaikat’ kecil. Anda telah berjuang dengan sangat hebat beberapa hari ini. Allah lebih menyayangimu. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” ujarnya.
@MuhdMokhzani pula menyifatkan sebelum ini dunia diliputi kegembiraan apabila operasi menyelamat semakin hampir untuk menyelamatkan kanak-kanak itu, namun kini kesedihan yang luar biasa apabila Rayan ditemukan meninggal dunia.
“Semoga Allah mengurniakan kamu darjat yang paling tinggi di syurga dan menganugerahkan ibu bapa kamu kesabaran. Amin,” katanya.
Usaha menyelamatkan Rayan sebelum ini menyentuh perasaan seluruh negara dengan usaha menyelamat berdepan cabaran getir dengan kebimbangan berlaku tanah runtuh.
Bagaimanapun, Rayan yang terperangkap selepas terjatuh ke dalam lubang perigi berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Ighrane di wilayah Chefchaouen sejak Selasa lalu, disahkan meninggal dunia. -UTUSAN ONLINE