JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja bakal menyaksikan penyertaan gabungan politik utama tanah air seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya turut melibatkan parti-parti politik lain.
Terkini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak menolak kemungkinan untuk menampilkan enam calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor tidak lama lagi.
Pengerusi Putra Johor, Prof. Datuk Dr. Kamarul Zaman Mohd. Jidin berkata, parti itu bagaimanapun akan memuktamadkan keputusan untuk terlibat dalam PRN Johor pada Sabtu ini.
“Setakat ini, kebarangkalian tinggi Putra bertanding di enam kerusi DUN Johor termasuk satu dalam kawasan Parlimen Sri Gading. Kerusi DUN yang kami tandingi adalah kawasanmajoriti kaum Melayu yang dimenangi PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya ketika dihubungi..
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Putra sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik lain dalam PRN Johor kecuali DAP dan mereka akan menghantar surat kepada pihak berkenaan untuk membincangkan kemungkinan jalinan kerjasama secara rasmi.
Sementara itu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengambil pendekatan lebih realistik bagi menentukan jumlah kerusi dalam penampilan sulung PRNJohor.
Timbalan Presidennya, Haniza Mohamed Talha berkata, parti itu juga akan mempertaruh calon berpotensi dan mampu berkhidmat untuk rakyat di kawasan yang kini sedang dikenal pasti.
Katanya, parti itu sedang berusaha mengumpul statistik dan maklum balas daripada lapangan sebelum dapat membuat keputusan berhubung calon serta jumlah kerusi.
“Insya-Allah kita agkat mereka yang berpotensi sebagai calon. Kita kemukakan muka-muka baharu. Yang pasti jumlah lebih realistik dan kita akan tengok kawasan mana yang kita boleh menang serta dapat berkhidmat kepada rakyat nanti,” katanya.
Beliau berkata, parti itu dalam masa yang sama dijangka membentuk gabungan dengan parti lain bagi menghadapi PRN Johor.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Johor, Mohd. Izzul Hafizuddin Mohd. Solehuddin memaklumkan pihaknya tidak akan terlibat dengan PRN Johor.
“Kami tidak mahu terlibat dalam satu kluster yang mungkin dipertanggungjawab ekoran peningkatan kes Covid-19 disebabkan pelaksanaan PRN Johor ini. Sebaliknya kami sedang melakukan gerak kerja sebagai persediaan untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE