GAZA: Lebih 5,800 kanak-kanak di Gaza didiagnosis mengalami kekurangan zat makanan sepanjang bulan Jun lalu, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak Gaza semakin memburuk dengan pantas,” kata UNICEF sambil menyifatkan keadaan itu sebagai krisis kelangsungan hidup kanak-kanak, bukan sekadar isu pemakanan.
Data yang dikongsikan UNICEF menunjukkan sebanyak 5,870 kanak-kanak dimasukkan ke hospital bagi rawatan segera sepanjang Jun, termasuk lebih 1,000 kes kekurangan zat makanan yang serius iaitu peningkatan selama empat bulan berturut-turut.
Untuk perbandingan, 2,068 kanak-kanak dimasukkan ke hospital pada Februari, meningkat kepada 3,259 pada Mac, 3,444 pada April dan 5,514 pada Mei.
“Tubuh-tubuh kecil ini semakin susut dan lemah. Ini bukan sekadar krisis pemakanan, tetapi satu kecemasan untuk kelangsungan hidup,” tegas UNICEF.
Agensi PBB itu menyeru agar bantuan kemanusiaan berskala besar dan pantas disalurkan ke Gaza, serta menuntut gencatan senjata yang berkekalan bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang semakin terancam.
Menurut pihak berkuasa Palestin, sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran sejak serangan ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023.
Israel telah menutup semua lintasan masuk ke Gaza sejak 2 Mac lalu, termasuk bagi penghantaran makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang melanda 2.4 juta penduduk di wilayah itu. Sekatan berterusan ini telah menjerumuskan Gaza ke ambang kebuluran, dengan laporan kematian akibat kelaparan semakin meningkat.
Walaupun menerima desakan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, yang telah mengorbankan lebih 58,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pengeboman tanpa henti turut memusnahkan infrastruktur penting, mengakibatkan kekurangan makanan dan penyebaran wabak penyakit. -AGENSI










