PETALING JAYA: PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah berjaya mengumpul tabungan sebanyak RM10.8 bilion menerusi 5.2 juta akaun yang telah dibuka setakat 31 Disember lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, instrumen simpanan yang diperkenalkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini memberikan keistimewaan dan manfaat untuk rakyat di negara ini.
“Sebagai contoh menerusi simpanan di bawah SSPN Prime, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 ditawarkan kepada pendeposit sekiranya anak mereka berjaya menyambung pelajaran ke mana-mana Institusi Pengajian Tinggi yang dikitiraf oleh Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sumbangan Simpan SSPN Kepada Pelajar Asnaf Merbok di Sungai Petani hari ini.
Pada majlis itu, seramai 50 orang pelajar asnaf dari sekolah rendah sekitar Kawasan Merbok menerima sumbangan Simpan SSPN Prime yang dilaksanakan melalui Wakalah Zakat Negeri Kedah melibatkan peruntukkan sebanyak RM5,000.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Annuar Ahmad; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda/ Yan, Khairil Azani Arzmi. – UTUSAN










