PSM harap PJS tunggu sehingga AGM selesai - Utusan Malaysia

PSM harap PJS tunggu sehingga AGM selesai

SUMALI REDUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang mahu mewujudkan entiti baharu untuk mengambil alih peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di peringkat antarabangsa menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli gabungan PSM.

Semalam, PJS membuat satu kenyataan untuk bersedia mempertimbangkan entiti baharu yang bakal mengambil alih peranan PSM di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Perkara itu disuarakan oleh Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof selepas melihat situasi semasa berkenaan kemelut antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Perkara itu mendapat perhatian Naib Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan yang berkata, PJS seharusnya lebih memahami situasi penyusunan semula PSM yang beberapa kali mengadakan pertemuan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik pada tahun lalu.

Katanya, pada waktu tersebut, PJS telah membuat pendirian bahawa tiada keperluan untuk mewujudkan entiti baru bagi menggantikan PSM kerana kemelut yang melanda PSM boleh diselesaikan dengan baik melalui rundingan beberapa pihak.

“Dalam tempoh seminggu sebelum Mesyuarat Agung PSM (AGM) diadakan pada 12 Februari ini, saya berpandangan, PJS boleh menunggu sehingga AGM selesai untuk meneliti secara lebih terperinci keadaan serta kedudukan terkini PSM.

“Saya berharap PJS yang dipertanggungjawabkan dapat membantu persatuan sukan di negara ini dalam menjadi pihak pendamai dan memahami denyut nadi majoriti ahli gabungan PSM yang masih setia dan mahu PSM yang dah sedia ada ini diperkasakan.

“Saya amat yakin penubuhan entiti baharu sepak takraw yang hanya terdiri dari sebahagian kecil ahli gabungan, tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini malahan akan terus berpanjangan sekiranya diluluskan,” kata Datuk Sumali dalam satu kenyataan.

PSM turut berjanji, segala kemelut dan salah faham yang berlaku sebelum ini termasuk dengan pihak ASTAF akan diselesaikan dengan baik dan fokus PSM dalam memastikan pembangunan sukan sepak takraw negara ini diteruskan dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya