KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Maran menafikan 31 individu daripada 32 orang yang mengisytiharkan mereka keluar parti tersebut semalam dan menyertai UMNO merupakan ahli parti tersebut.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua UMNO Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin memaklumkan 32 ahli Bersatu diketuai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran, Siti Nora Mohamad Nor, 41, menyertai UMNO.
Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata, hanya Siti Nora yang mengetuai kumpulan itu ahli Bersatu namun beliau bukan Ketua Srikandi Bahagian itu seperti didakwa.
Menurutnya, ahli kumpulan terbabit dipercayai ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Maran dan tiada rekod keahlian mereka dalam bahagian itu.
“Sebagai sebuah parti politik yang mengamalkan prinsip demokrasi, kami pimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan Siti Nora untuk meninggalkan parti dan menyertai UMNO ataupun mana-mana politik siasah sekalipun.
“Namun begitu, saya ingin perbetulkan fakta yang tidak tepat mengenai kesemua 32 orang yang didakwa sebagai ahli Bersatu Maran oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dalam kenyataan medianya semalam.
“Saya ingin memaklumkan hanya Siti Nora sahaja merupakan ahli Bersatu namun bukanlah Ketua Srikandi Bahagian Maran dan kesemua 31 orang lagi yang didakwa keluar parti itu sebenarnya ahli sebuah NGO di Maran dan Bersatu Maran tidak mempunyai rekod keahlian mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jasri berkata, Shahaniza tidak meneliti dan memberi maklumat tidak tepat kepada ketuanya, selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.
“Siti Nora menjadi ahli Bersatu Bahagian Maran pada 10 April tahun lalu dan tidak terpilih sebagai ketua srikandi bahagian ini dalam pemilihan bahagian yang diadakan, 28 November tahun lalu.
“Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih adalah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi dan kepimpinan Bersatu bahagian Maran yang dipilih pada Persidangan Tahunan tahun lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukan bersama kepimpinan Srikandi dan Armada bahagian,” katanya.
Semalam, Siti Nora mengetuai 31 individu yang mendakwa ahli Bersatu Bahagian Maran telah menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Wan Rosdy selepas umum keluar parti.
Menurutnya, keputusan mereka keluar parti kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju parti itu dan turut mendakwa kira-kira 100 ahli Bersatu bahagiaan Maran dijangka mengambil langkah sama.- –UTUSAN