Polis rampas dadah RM61,847, tiga termasuk suami isteri diberkas - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah RM61,847, tiga termasuk suami isteri diberkas

SOFFIAN Santong (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah serta peralatan yang digunakan untuk menghisap dadah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki tempatan serta merampas dadah jenis ganja dan methamphetamine bernilai RM61,847 dalam tiga serbuan di kawasan Air Itam, di sini Ahad lalu. 

Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam itu, polis menahan dua suspek yang merupakan lelaki tempatan di sebuah rumah flat di kawasan Air Itam dan merampas empat ketul ganja serta menjumpai pelbagai peralatan untuk membungkus dadah. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek pertama berusia 38 tahun itu menjalankan kegiatan berkenaan bersama rakannya yang berusia 40 tahun di unit kediaman berkenaan yang disewa abangnya. 

“Serbuan tersebut kemudian membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis Proton Waja yang diparkir di kawasan berkenaan dan polis merampas 18 bungkusan ganja yang disimpan di dalam kereta. Polis kemudian menyerbu sebuah  rumah flat berhampiran yang merupakan rumah pusaka suspek pertama dan merampas sejumlah dadah jenis ganja dan methamphetamine serta peralatan menghisap dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Timur Laut di sini hari ini. 

Menurut Soffian, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun di rumah berkenaan yang  merupakan isteri kepada suspek pertama. 

“Rumah ini didiami oleh suspek pertama dan isterinya, bagaimanapun siasatan awal mendapati wanita berkenaan tidak tahu mengenai aktiviti suspek pertama bersama rakannya,” katanya. 

Tambah beliau, kesemua dadah yang dirampas itu melibatkan ganja seberat 22 kilogram(kg) bernilai RM55,697.50 dan syabu seberat 61.50 gram bernilai RM6,150 yang kesemuanya untuk pasaran tempatan. 

“Suspek pertama berusia 38 tahun adalah penganggur dan dia mempunyai empat rekod lampau manakala rakannya yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai tujuh rekod lampau serta kedua-dua mereka positif dadah,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang mengesan abang kepada suspek itu yang berusia 38 tahun kerana dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan dalang utama sindiket tersebut. 

“Polis turut menyita sebuah Toyota Vios, motosikal KTN Duke dan Yamaha LC135 menjadikan jumlah keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM151,047.  Dadah yang dirampas ini boleh digunakan 44,558 penagih dan kesemua suspek direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN