PASIR GUDANG: Polis memburu dua lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Millsgate, Eko Tropics, Taman Kota Masai, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut yang dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 38 tahun.
“Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan perlakuan dua orang suspek lelaki terlibat dalam kejadian pecah rumah tersebut.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengesan dua suspek yang dilihat dipaparkan dalam rakaman CCTV berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pengadu wanita itu turut memuat naik beberapa klip video serta tangkap layar wajah suspek terbabit di Facebook miliknya.
Katanya, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Hafizudin Mohamad di talian 010-4008030 atau 07-3864222. – UTUSAN