JELEBU: Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan membuat pemantauan rapi di kesemua kawasan taman eko rimba sebagai persediaan peralihan monsun bermula 30 September ini.
Pengarahnya, Hamidi Abd. Halim berkata, pemantauan khususnya di kawasan tumpuan orang ramai seperti Taman Eko Rimba Ulu Bendul adalah untuk menghadapi kemungkinan hujan lebat dan fenomena kepala air.
“Pegawai kami ditempatkan di lokasi berisiko bagi memastikan paras air sentiasa dipantau. Sekiranya berlaku kenaikan mendadak pengunjung akan diarahkan keluar dari sungai serta-merta.
“Jika keadaan cuaca sejak awal pagi tidak mengizinkan, kami juga tidak akan membenarkan aktiviti mandi-manda dijalankan,” katanya.
Hamidi berkata, pegawai juga telah terlatih untuk mengenal pasti tanda awal kemungkinan kepala air, antaranya perubahan kekeruhan air serta sampah atau daun yang hanyut sebelum arus deras melanda.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap ramalan cuaca dan menangguhkan aktiviti riadah sekiranya hujan ribut diramal berlaku.
“Sebelum keluar rumah, pastikan keadaan cuaca baik. Sampai di lokasi, dapatkan nasihat daripada pegawai bertugas sama ada aktiviti boleh diteruskan atau tidak.
” Jika hujan berlarutan beberapa hari, kami mungkin perlu menutup kawasan berkenaan demi keselamatan,”katanya.
Dalam pada itu, Hamidi turut mengingatkan pengunjung supaya mengelakkan daripada berteduh di bawah pokok ketika hujan kerana berisiko tumbang akibat angin kencang.
“Kita tidak jangka keadaan cuaca akan terlalu buruk, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terpelihara,” katanya.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 30 September serta akan berlanjutan sehingga November depan.
Semasa fasa peralihan itu, negara bakal mengalami tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang berpotensi mengalakkan pembentukan awan ribut petir.
Ia sekali gus membawa fenomena hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh singkat terutama pada waktu petang dan awal malam.
Fenomena cuaca berkenan berisiko menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang, kepala air dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. – UTUSAN










