BATU PAHAT: PKR mengumumkan senarai tujuh lagi calon parti berkenaan untuk dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) zon utara.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menampilkan empat muka baharu iaitu C. Subramani bagi kerusi DUN Buloh Kasap, Yoong Thau (Pemanis); Azmi Masrani (Sri Medan) dan Abdullah Sahid (Sungai Balang).
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar kekal mempertahankan kerusi DUN Semerah yang dimenanginya dengan majoriti 98 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Anwar turut menamakan Md. Ysahruddin Kusni untuk kekal di kerusi Bukit Naning yang disandangnya dan menempatkan Na’im Jusri yang sebelum ini bertanding di Sungai Balang ke DUN Gambir.
Bagaimanapun, ketika nama Mohd. Khuzzan disebut, terdapat sedikit kekecohan daripada penyokong PKR yang hadir ke majlis pengumuman itu di sebuah hotel, di sini dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan pencalonannya.
Anwar sebaliknya meminta keputusan tersebut dihormati dan menasihatkan Mohd. Khuzzan agar menyantuni isu tersebut untuk diselesaikan secara baik.
“Kita sudah buat keputusan, hormat keputusan. Saya harap Khuzzan ambil iktibar supaya menyantuni sesiapa yang kurang berpuas hati, saya ingat ini perkara biasa,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Khuzzan ketika ditemui berkata, ia kali kedua beliau berhadapan dengan situasi itu sama seperti ketika diumumkan sebagai calon pada PRU-14 lalu.
“Ini kali kedua (menerima protes), pilihan raya umum lepas juga begini. Tetapi, saya menyerahkan kepada masyarakat dan pemilih untuk memilih. Ini cuma sebahagian sahaja tetapi masih ramai lagi yang menyokong.
“Bagi mereka yang memprotes tadi, saya akan pastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama anggota parti untuk memastikan kemenangan kerusi DUN Semerah pada PRN akan datang,” katanya.
Terdahulu pada sebelah petang, Anwar turut mengumumkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik sebagai calon di kerusi DUN Layang-Layang.- UTUSAN