KOTA BHARU: Sambutan ibu bapa terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) yang bermula semalam di seluruh Kelantan dilihat hambar berbanding program pemvaksinan untuk remaja dan dewasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kebanyakan ibu bapa mengakui tidak mahu terburu-buru mendaftarkan anak-anak untuk menerima vaksin. Sebaliknya mahu tunggu dan lihat terlebih dahulu.
Antara kegusaran terbesar, mereka perlu menandatangani borang persetujuan dan menanggung sendiri risiko manakala Kementerian Kesihatan pula dilihat seolah-olah ingin ‘lepas tangan’ apabila mengenakan pendekatan sebegitu.
Peniaga di pusat bandar ini, Hazman Harun, 37, berkata, buat masa ini, anak lelaki dan perempuannya, masing-masing berumur sembilan dan 11 tahun masih belum didaftarkan sebagai penerima vaksin.
“Saya bukan antivaksin, malah, saya sudah lengkap menerima dua dos vaksin bersama dos penggalak. Namun, selepas suntikan kedua dan dos penggalak, saya sering keletihan dan mengah, selain kulit jadi gatal-gatal.
“Doktor kata tidak ada kaitan dengan vaksin sedangkan saya sihat walafiat sebelum ini. Cara KKM yang lepas tangan ini yang buat saya was-was, bayangkan perkara sama terjadi kepada anak-anak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Husin mendedahkan, hanya 5,000 borang dikembalikan selepas Jabatan Kesihatan mengedarkan lebih 14,000 borang persetujuan untuk PICK Kids sejak minggu lalu.
Mengikut Jabatan Perangkaan 2021, populasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Kelantan adalah 219,000 orang manakala data kohort kelahiran Jabatan Kesihatan pula seramai 168,023 orang.
Sementara itu, tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, Pasir Puteh sebagai salah satu pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini juga mendapati PICK Kids pada hari pertama kurang mendapat sambutan.
Difahamkan, daripada kira-kira 700 borang persetujuan yang diedarkan, setakat ini hanya tidak sampai 100 ibu bapa memberi maklum balas positif membenarkan anak masing-masing divaksin.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Cherang Ruku, Zanawi Isa berkata, sambutan terhadap PICK Kids dingin kerana ramai ibu bapa khuatir jaminan dan pembelaan anak mereka terabai selepas menerima suntikan vaksin.
“Kita bercakap dalam aspek penduduk luar bandar yang kurang mendapat maklumat tepat. Mereka sebaliknya menerima sebaran maklumat daripada pihak yang tidak berkaitan lebih-lebih lagi daripada kumpulan anti vaksin.
“Ibu bapa memilih menunggu kesan terhadap anak-anak orang lain yang menerima suntikan pertama. Jika tiada kesan sampingan, barulah mereka berani hantar anak sendiri,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kata Zanawi, jaminan kerajaan terhadap sebarang kesan sampingan dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 penting bagi meningkatkan keyakinan orang ramai dan seterusnya membenarkan anak mereka divaksin. – UTUSAN