KULIM: Seorang pesara posmen membuka sebuah galeri yang mempamerkan beberapa koleksi menarik berkaitan perkhidmatan pos di daerah ini.
Mehat Ishak, 60, dari Kampung Tok Rasul, Keladi di sini berkata, sebuah bangsal di hadapan rumahnya kini dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan galeri tersebut.
Beliau yang berkhidmat selama 39 tahun dengan Pos Malaysia berkata, pembinaan galeri itu adalah hasil daripada bahan kitar semula yang dilakukannya sendiri dengan dibantu anak-anak serta anak saudara.
“Saya membina galeri ini sejak awal bulan lalu dan pembinaan dilakukan ketika saya cuti. Kini selepas bersara mungkin saya boleh tumpukan kerja penambahbaikkan galeri ini sebelum orang ramai datang melawat.
“Kebanyakan barangan yang dipamerkan di galeri ini adalah milik saya sendiri serta koleksi yang saya simpan ketika bertugas dahulu seperti pakaian seragam, kasut serta beberapa peralatan yang digunakan dalam perkhidmatan pos,” katanya ketika ditemui di sini.
Jelasnya, semua pakaian dan barangan terbabit adalah koleksinya ketika bertugas bermula sebagai seorang posmen pada tahun 1982 dan bersara sebagai Pengurus Pusat Serahan Mel Kulim, bermula Rabu lalu.
Ujarnya, banyak perubahan yang berlaku sejak dia bertugas selama 39 tahun terutama pakaian seragam dan kenderaan yang digunakan untuk menghantar surat.
Menurutnya, dia dapat merasai pengalaman menghantar surat dengan mengunakan basikal ke kawasan kampung dan perumahan selama kira-kira 22 tahun sebelum beralih kepada motosikal.
“Saya kini sedang mengumpul beberapa koleksi lagi pada awal perkhidmatan pos di negara ini,” katanya.
Jelasnya lagi, dia mengharapkan kewujudan galeri itu memberi peluang kepada generasi sekarang melihat sejarah perkhidmatan pos di daerah dan negara ini. – UTUSAN ONLINE