KUALA SELANGOR: “Saya cuma mahu beliau mendoakan supaya tubuh kecil ini terus kuat berjuang dan segera sembuh”.
Demikian hasrat pilu seorang remaja perempuan yang menderita sakit usus dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE) untuk menemui idola kesayangannya iaitu pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Nurul Syahera Edmal Kamarul Bahrin, 15, diuji dugaan perit kerana hanya mampu terbaring lesu sejak hampir setahun lalu dengan berat badannya kini hanya 19 kilogram (kg).
Ibunya, Sharizaton Sawal, 43, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu kerap mengadu kemurungan, kelesuan dan kurang selera makan pada Mac tahun lalu.
Katanya, keresahan itu terungkai selepas terkejut melihat tubuh Nurul Syahera amat kurus sehingga menampakkan tulang ketika mahu membantu memandikannya.
“Saya dan suami (Kamarul Bahrin Kahaludin, 46) kemudian membawa dia menjalani pemeriksaan di beberapa klinik swasta namun memperoleh keputusan berbeza.
“Pada Julai tahun lalu, hasil ujian darah, rambut dan air kencing mendapati kulat di dalam ususnya sudah mencecah 90 peratus dan turut menghidap SLE,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Residensi Warnasari 2, Puncak Alam, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd. Shaid Rosli.
Jelas Sharizaton, anaknya itu kini memerlukan kos perubatan dianggarkan RM30,000 setahun seperti yang disyorkan doktor pakar sebuah klinik swasta di Johor Bharu.
“Kos itu meliputi bekalan ubat-ubatan dan susu formula khas yang perlu digunakan untuk rawatan Nurul Syahera.
“Pendapatan suami sebagai pemandu lori juga tidak menentu dan kami mengharapkan bantuan keluarga serta rakan,” katanya yang turut kehilangan anak lelakinya, Allahyarham Mohd. Iqmal Haqem Kamarul Bahrin akibat lemas di Puncak Alam pada 2014.
Dalam pada itu, jelas beliau, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam 3 berkenaan mahu menemui Ebit Lew yang diminatinya sejak sekian lama.
“Biarpun lemah dan tidak berdaya, Nurul Syahera sering kali menonton video Ustaz Ebit menerusi televisyen dan telefon bimbit. Ia menjadi antara pemangkin semangat untuk dia terus melawan penyakit dihidapinya dan gigih meneruskan sesi pembelajaran persekolahan secara atas talian sehingga kini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162740199609 atas nama Sharizaton atau menghubunginya di talian 014-7195610. – UTUSAN