Peranan pendidik semakin mencabar

Peranan pendidik semakin mencabar

PENDIDIK harus diberi ruang untuk fokus tugas hakiki iaitu mendidik dan membimbing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM suasana dunia bergerak pantas dan dipacu teknologi, peranan guru dan pensyarah semakin mencabar. Mereka tidak lagi sekadar menyampaikan fakta, tetapi perlu membimbing pelajar menjadi warganegara yang celik maklumat, beretika dan mampum berfikir secara kritis.

Pendidikan masa kini tidak terlepas daripada pelbagai cabaran. Dari transformasi digital, perubahan gaya belajar hinggalah kepada peningkatan beban kerja. Guru dan pensyarah bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, malah perlu berhadapan dengan pelajar lebih kritikal, bebas bersuara dan terdedah kepada pelbagai maklumat dari luar.

Tambahan pula, isu seperti kesihatan mental pelajar, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar serta keperluan mendidik generasi yang serba celik teknologi memerlukan pendekatan baharu lebih inklusif dan empati. Guru dan pensyarah hari ini perlu lebih fleksibel, kreatif dan cekap dalam pelbagai aspek. Sudah pasti ini satu tanggungjawab yang besar dan menuntut sokongan berterusan.

Kehadiran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam dunia pendidikan membuka lembaran baharu. AI dapat mempercepatkan kerja pentadbiran, memperibadikan pembelajaran dan membantu menganalisis prestasi pelajar. Namun, AI bukanlah pengganti kepada hubungan kemanusiaan yang terjalin antara pendidik dan pelajar.

Peranan guru dan pensyarah tetap penting dalam membimbing penggunaan teknologi secara beretika dan bijak. Penggunaan AI memerlukan literasi digital tinggi dalam kalangan pendidik, agar mereka dapat memanfaatkan teknologi secara optimum tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Di sebalik setiap kejayaan pelajar, ada guru yang sabar membimbing, ada pensyarah setia menyokong. Pengorbanan ini sering tidak kelihatan. Antaranya, masa diluangkan untuk menyemak tugasan, memberi maklum balas, merancang aktiviti serta membina hubungan lebih bermakna dengan pelajar.

Namun, beban kerja mereka semakin meningkat, terutama berkaitan urusan pentadbiran dan pelaporan. Oleh itu, usaha untuk menyederhanakan beban dan memperkukuh sokongan terhadap pendidik perlu diberi keutamaan oleh pihak berkepentingan. Pendidik harus diberi ruang untuk fokus tugas hakiki iaitu mendidik dan membimbing.

Hari Guru seharusnya menjadi titik mula untuk perbincangan yang lebih bermakna tentang masa hadapan pendidikan di Malaysia. Bagaimana kita boleh mengurangkan beban tidak perlu kepada guru dan pensyarah? Bagaimana kita memastikan sokongan profesional mencukupi agar mereka dapat terus berkembang? Dan bagaimana kita boleh mendengar suara mereka dalam menggubal dasar yang berkaitan?

Pengiktirafan kepada pendidik tidak seharusnya bermusim. Ia harus diterjemah dalam bentuk peluang peningkatan kerjaya, latihan berterusan, sokongan psikososial dan autonomi profesional. Dalam dunia sentiasa berubah, pendidik perlu diberi kepercayaan dan ruang untuk menjadi inovator dalam bilik darjah dan kuliah.

Guru dan pensyarah kekal sebagai nadi kepada kemajuan negara. Dalam dunia dipenuhi cabaran baharu, dari teknologi ke perubahan sosial, mereka tetap tabah, kreatif dan dedikasi dalam mendidik anak bangsa.

Sempena Hari Guru ini, marilah kita raikan jasa mereka bukan sahaja dengan pujian, tetapi dengan komitmen bersama untuk menjadikan profesion pendidikan sebagai bidang yang mulia, bermaruah dan disokong sepenuhnya.

Selamat Hari Guru. Terima Kasih, cikgu dan pensyarah.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN