Pemakaian lencana Jalur Gemilang didik murid cintakan negara

Pemakaian lencana Jalur Gemilang didik murid cintakan negara

PELAKSANAAN pemakaian lencana Jalur Gemilang adalah langkah permulaan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKUAT kuasa 21 April lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid secara berperingkat di institusi pendidikan bawah kelolaannya. Ia melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Mungkin ramai yang tidak menyedari pemakaian lencana bendera kebangsaan diamalkan di kebanyakan negara termasuk negara jiran. Justeru pendekatan yang diambil KPM itu yang pada hakikatnya telah sekian lama tertangguh tidak wajar dijadikan polemik berpanjangan.

Pelaksanaan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada hakikatnya adalah langkah permulaan yang penuh makna untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu langkah holistik yang bermula daripada usaha mendekati akar umbi.

Memandangkan murid tidak akan dihukum jika tidak memakai lencana berkenaan kerana inisiatif ini dilaksanakan bukan bertujuan menghukum, namun ibu bapa khususnya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Mereka harus memantau serta memastikan ia dipatuhi selaras dengan hasrat murni kerajaan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Pemakaian lencana Jalur Gemilang secara tidak langsung sebenarnya merupakan bentuk pendidikan kepada murid tentang kepentingan mengenali dan menghargai simbol yang merupakan lambang kedaulatan serta identiti nasional negara. Dengan kata lain, Jalur Gemilang adalah lambang pengenalan negara ini di mata dunia.

Walau bagaimanapun, inisiatif ini perlu diberikan pengisian dari semasa ke semasa agar murid lebih memahami makna semangat cintakan negara. Ia harus disertai dengan pendekatan berterusan termasuk sesi penerangan dari pihak sekolah mengenai maksud dan falsafah di sebalik lencana tersebut.

Guru juga berperanan penting dalam memastikan murid bukan sahaja memakai lencana dengan betul selaras dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025 tetapi juga memahami erti di sebalik simbol dipakai. Kefahaman ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada semangat patriotisme yang lebih tulen dalam kalangan murid.

Dalam pada itu, semua pihak terutamanya para pembekal dan pengeluar lencana Jalur Gemilang perlu memainkan peranan memastikan supaya ia mematuhi reka bentuk asal tanpa sebarang cacat cela atau kesilapan dari segi grafik dan cetakan. Kecuaian seumpama ini boleh mencetuskan keresahan awam serta menjejaskan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Mereka yang didapati cuai dan gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang ditetapkan harus bersedia untuk dikenakan tindakan undang-undang semasa yang berkuat kuasa.

Apapun, pemakaian lencana Jalur Gemilang seharusnya menjadi peringatan bahawa menjadi rakyat Malaysia bermakna setiap orang harus tahu, faham dan bangga dengan segala yang menjadi identiti negara ini.

Usaha seperti ini perlu diteruskan dan disokong oleh semua pihak. Ia bukan sahaja sebagai lambang semangat patriotisme, pemangkin kepada perpaduan dan keharmonian dalam kalangan murid tetapi dapat mendidik mereka lebih bertanggungjawab terhadap negara.

Untuk itu, institusi pendidikan yang berada di luar bidang kuasa KPM seharusnya turut sama menjayakan inisiatif yang baik ini.-UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN