PETALING JAYA: Belia adalah antara golongan yang menanti khabar gembira berhubung pengumuman kerajaan sebelum ini yang komited memudahkan pembelian kediaman idaman.
Penjawat awam, P. Balaganesh, 30, berkata, kebanyakan pembeli khususnya para belia menghadapi dua masalah besar untuk memiliki rumah iaitu tidak layak mendapatkan pinjaman kewangan dan harga rumah terlalu tinggi.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin mengenai janji kerajaan mengutamakan mampu milik serta memudahkan pembiayaian kewangan secara langsung dapat menyelesaikan masalah pemilikan sering dihadapi belia.
“Seperti disebut Perdana Menteri bahawa institusi kewangan perlu beri kelonggaran adalah satu komitmen kerajaan dalam membantu rakyat khususnya belia bagi memiliki kediaman.
“Bukan sekadar kelonggaran, tetapi perlu juga mewujudkan skim khas belia berusia 25 hingga 35 tahun bagi mendapatkan pinjaman perumahan dengan mudah dan tanpa proses membebankan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengesa semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.
Soal itu termasuk meminta Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.

Pekerja swasta, Zulfa Abu, 37, menyifatkan pengumuman kerajaan itu tepat pada masanya ekoran rata-rata generasi muda tidak dapat membeli rumah kerana pelbagai kekangan termasuk kesukaran mendapatkan pinjaman bank.
Katanya, langkah itu secara langsung dapat memberi kelegaan kepada rakyat bagi mendapatkan kediaman tanpa berhadapan segala kesulitan sehingga terpaksa menyewa rumah sehingga bersara.
“Bukan sahaja bank, pihak pemaju perlu memberikan kemudahan kepada pembeli khususnya yang tidak mampu membayar deposit. Ini menjadi masalah besar kepada pembeli.
“Tetapi pengumuman Perdana Menteri ini diharapkan dapat membantu rakyat yang masih belum membeli rumah,” katanya.

Seorang jurutera, Akramin Muhammad, 30, pula berharap langkah kerajaan itu dapat membawa sinar baharu kepada rakyat untuk memiliki kediaman yang berpanjangan sejak sekian lama.
Jelasnya, harapan itu perlu bersandarkan kepada kerjasama semua pihak termasuk institusi kewangan dalam menyediakan pelan pembiayaan yang mesra rakyat.
“Kita mahu satu yang efektif agar semua pihak sama ada pemaju dan bank berada dalam situasi menang-menang,” katanya. – UTUSAN