Mahkamah Agung sekat penghantaran Pengawal Kebangsaan ke Chicago

Mahkamah Agung sekat penghantaran Pengawal Kebangsaan ke Chicago

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memberi tamparan kepada usaha Presiden, Donald Trump dalam penguatkuasaan imigresen apabila menghalang penghantaran tentera Pengawal Kebangsaan ke bandar Chicago.

Mahkamah yang didominasi konservatif itu mengekalkan perintah mahkamah rendah yang melarang tentera digerakkan di jalan-jalan bandar di negeri Illinois, sekurang-kurangnya buat sementara waktu.

“Pada peringkat awal ini, kerajaan gagal mengenal pasti sumber kuasa yang membolehkan tentera melaksanakan undang-undang di Illinois,” kata mahkamah dalam perintah tanpa tandatangan.

Tiga hakim konservatif iaitu Samuel Alito, Clarence Thomas dan Neil Gorsuch menentang keputusan itu.

Trump dilaporkan menghantar tentera Pengawal Kebangsaan ke tiga bandar yang diketuai Demokrat tahun ini di Los Angeles, Washington dan Memphis, tetapi usaha beliau untuk menghantar tentera ke Portland dan Chicago terhalang oleh proses mahkamah.

Jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson menegaskan, keputusan mahkamah tidak mengubah matlamat utama Presiden mengaktifkan Pengawal Kebangsaan untuk melindungi pegawai penguatkuasa undang-undang Persekutuan dan memastikan para penunjuk perasaan tidak merosakkan bangunan serta harta Persekutuan.

Gabenor Demokrat Illinois, JB Pritzker yang menentang keras penghantaran tentera bersama Datuk Bandar Chicago, Brandon Johnson menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai kemenangan besar untuk Illinois dan demokrasi AS.

“Ini langkah penting untuk mengekang penyalahgunaan kuasa berterusan oleh pentadbiran Trump dan melambatkan langkah beliau menuju autoritarianisme,” kata Pritzker.

Selepas dua mahkamah rendah menghalang Trump menghantar tentera ke Chicago, pentadbirannya membuat rayuan kecemasan ke Mahkamah Agung.

Dalam dokumen rayuan, Peguam Kanan Kerajaan, John Sauer mendakwa pegawai persekutuan di Chicago terpaksa beroperasi di bawah ancaman keganasan oleh orang ramai.

Katanya, perintah mahkamah yang menghalang penghantaran Pengawal Kebangsaan secara tidak wajar menjejaskan kuasa presiden dan meletakkan pegawai serta harta persekutuan dalam bahaya.

Penolakan Mahkamah Agung terhadap rayuan kecemasan ini merupakan kekalahan jarang berlaku bagi Trump di mahkamah tertinggi, di mana golongan konservatif memegang majoriti 6-3.

Bagaimanapun, kesan keputusan terhadap kes-kes lain di mana negeri yang diketuai Demokrat mencabar penghantaran Pengawal Kebangsaan oleh Trump masih belum jelas.

California dan Oregon turut memfailkan cabaran undang-undang terhadap penggunaan luar biasa Pengawal Kebangsaan di dalam negara oleh pentadbiran Trump.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN